Jumpa Tengkorak Manusia Dekat Tapak Pembinaan

HULU SELANGOR: Tengkorak manusia ditemui dekat tapak pembinaan lot tempat letak kenderaan di Jalan Kemunting 2, Bukit Beruntung, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bak Phai, berkata bahagian itu ditemui seorang pekerja di tapak pembinaan berkenaan kira-kira jam 5.50 petang sebelum memaklumkannya kepada polis.

Katanya, siasatan anggota di lokasi tidak menemui bahagian tulang lain mahu pun pakaian milik mangsa.

"Kita sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti identiti mangsa.

"Setakat ini, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya dalam satu kenyataan - Berita Harian Online