Hubungan Intim Ketika Isteri Hamil.

Perubahan keadaan tubuh di awal kehamilan seperti perubahan hormon, seperti payudara, mual, naik turunnya emosi, dan kelelahan dapat menurunkan hasrat untuk berhubungan suami isteri.

Saat kandungan membesar, hasrat hubungan intim mungkin turun kerana sakit punggung dan berat badan yang dirasakan isteri.

Namun ternyata pada bahagian lain wanita, terjadi peningkatan keinginan hubungan intim yang berkaitan dengan peningkatan produksi hormon.

Menurut laporan Harian Metro, topik hubungan kelamin semasa hamil jarang dibincangkan secara terbuka kerana masyarakat kita masih terikat dengan sifat malu sehingga melabelkan isu ini sebagai cerita 18SX atau rahsia ‘dalam kelambu’.

Malah, ramai wanita hamil yang segan untuk bertanya doktor secara berterus terang walaupun mereka mempunyai kemusykilan mengenai perkara ini.

Bagi Pakar Obstetrik dan Ginekologi Hospital Pusrawi Kuala Lumpur Dr Daud Yahya, sifat malu sebegini seharusnya dibuang jauh kerana pengetahuan pelbagai perkara mengenai kehamilan termasuk soal hubungan di tempat tidur perlu dititikberatkan.

“Masyarakat perlu lebih terbuka kerana membicarakan hubungan seks bukan perkara yang jelik atau lucah, apatah lagi jika ia berkaitan kesihatan.

“Dalam konteks hubungan kelamin semasa hamil, ia tidak boleh diambil ringan oleh pasangan suami isteri terutama bagi ibu yang pernah mengalami masalah sepanjang kehamilan,” ujarnya.

Menurut Dr Daud, walaupun kajian saintifik membuktikan hubungan seksual tidak membawa sebarang kemudaratan sama ada kepada ibu atau janin, dalam keadaan tertentu ia berkemungkinan boleh menimbulkan implikasi buruk.

“Ada bertanya, adakah hubungan kelamin boleh menyebabkan kecederaan atau jangkitan kuman kepada bayi yang dikandung?

“Jawapannya tidak, jika ibu dan bayi berada dalam keadaan normal. Ini kerana janin dalam rahim dilindungi oleh mukus tebal yang menutupi serviks.

“Kantung amnion dan otot uterus yang kuat turut melindungi bayi. Malah, semasa hubungan berlangsung, alat kelamin lelaki tidak akan menjangkau lebih dari vagina.

“Oleh itu, jika ibu dan janin dalam keadaan sihat, aktiviti seks boleh dinikmati seperti biasa sepanjang kehamilan. Tidak ada istilah ‘berpantang’ sama ada pada awal mahupun akhir kehamilan,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Daud berkata, lazimnya, pada peringkat awal isteri akan berasa tidak selesa atau hilang selera seksual jika mereka mengalami alahan teruk terutama bagi ibu yang pertama kali hamil.

Begitu juga pada hujung kehamilan, keadaan perut yang memboyot mungkin tidak memberi keselesaan semasa hubungan dilakukan meskipun pelbagai posisi dicuba.

“Ada juga yang bertanya, adakah hubungan seksual pada awal kehamilan boleh menyebabkan keguguran? Jawapan saya, tidak jika kehamilannya normal.

“Walaupun air mani yang mengandungi prostaglandin boleh menyebabkan kekejangan dan rahim mengecut semasa klimaks, namun ia tidak akan menyebabkan keguguran,” jelas Dr Daud.

Namun, beliau menegaskan, aktiviti hubungan kelamin perlu diberi perhatian jika ibu mengalami beberapa gejala sepanjang kehamilan.

“Jika ibu mempunyai sejarah keguguran atau kelahiran pramatang, dia perlu berhati-hati kerana risiko untuk berulang adalah lebih mudah.

“Lazimnya, keadaan ini berlaku kerana ibu memiliki rahim yang lemah. Oleh itu sebarang aktiviti seksual yang memerlukan pergerakan lasak boleh mengundang padah.

“Apatah lagi ketika wanita mencapai kemuncak ghairah, terjadi kekejangan pada otot termasuk rahim. Jadi, jika rahimnya tidak kuat, ia boleh mengakibatkan keguguran atau kelahiran pramatang.

“Jadi, seelok-eloknya, dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu sebelum meneruskan aktiviti seksual,” kata Dr Daud.

Beliau turut menasihati pasangan supaya segera menghentikan hubungan seksual dan mendapatkan nasihat doktor jika berlaku pendarahan semasa aktiviti berkenaan kerana dikhuatiri boleh mengakibatkan keguguran.

Di samping itu, hubungan kelamin turut mendatangkan risiko berlakunya pendarahan jika uri berada pada kedudukan di bawah sehingga menutup sebahagian atau seluruh laluan kelahiran.

Selain itu, menurut Dr Daud, hubungan intim juga dilarang apabila ibu mengalami pecah ketuban kerana boleh menyebabkan berlakunya jangkitan kuman kepada janin.

“Bagi ibu yang pertama kali hamil, saya sarankan agar sentiasa mendapat pandangan doktor termasuk soal hubungan kelamin sepanjang kehamilan bagi mengelak sebarang kemudaratan ,” ujar Dr Daud. - Harian Metro