Wanita Mongolia Ditahan Kes Rogol Melibatkan Inspektor Polis

Tiga wanita warganegara Mongolia ditahan selepas membuat laporan polis berhubung kes rogol melibatkan seorang inspektor polis terhadap dua rakan wanita sewarganegara dengan mereka.

Peguam yang mewakili mereka, Thomas Philip mengesahkan Kedutaan Mongolia telah melantik firma guamannya Thomas Philip (Advocates and Solicitors), dan mereka akan memfailkan permohonan untuk membebaskan ketiga-tiga wanita Mongolia itu.

Kata Philip kepada Malaysiakini, ketiga-tiga wanita itu tampil mendedahkan kejadian rogol dua rakan sewarganegara mereka yang disyaki dilakukan oleh seorang inspektor polis.

Dilaporkan pada 11 April lalu, pihak polis menahan inspektor polis berkenaan kerana disyaki terlibat dalam kes rogol dua wanita warga Mongolia.

Pegawai polis itu ditahan dalam satu sekatan jalan raya di Petaling Jaya.

Philip berkata Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini membenarkan permohonan polis mendapatkan perintah perlindungan interim selama 21 hari ke atas ketiga-tiga wanita berkenaan, sebagai sebahagian daripada penyiasatan kes penyeludupan manusia.

Peguam itu berkata pihaknya akan memfailkan permohonan untuk mengetepikan perintah perlindungan interim itu, yang mengekang pergerakan ketiga-tiga wanita itu memandangkan mereka akan ditahan di sebuah rumah yang dirahsiakan.

Beliau berkata, pihak kedutaan Mongolia meluahkan rasa terkejut dengan penahanan ketiga-tiga wanita berkenaan.

Kedutaan itu turut membangkitkan mengenai permohonan perintah perlindungan interim oleh pihak polis atas alasan menyiasat penyeludupan manusia, sedangkan ketiga-tiga wanita itu membuat laporan polis berhubung kes rogol terhadap dua wanita yang lain.

“Kami mendapat arahan untuk (membuat permohonan) mengetepikan perintah perlindungan interim (terhadap ketiga-tiga wanita itu). Kedutaan (Mongolia) terkejut ke atas apa yang terjadi ke atas ketiga-tiga wanita berkenaan.

“Hari ini, kami pada asalnya ingat kami ke mahkamah (Majistret Petaling Jaya) kerana perintah perlindungan interim berhubung (penyiasatan) kes rogol.

“Tapi tiba-tiba, kami diberitahu perintah perlindungan interim itu adalah untuk (siasatan polis ke atas) penyeludupan manusia.

“Ia hanyalah kes melibatkan tiga wanita meminta pertolongan (untuk dua mangsa rogol) dan tiba-tiba mereka dapati mereka berada di bawah perintah perlindungan interim.

“Kedutaan Mongolia berkata ketiga-tiga wanita itu tidak perlu dikenakan perintah perlindungan interim berhubung penyeludupan manusia,” tambahnya yang turut berkata polis mendakwa ketiga-tiga wanita itu adalah mangsa dalam kes penyeludupan manusia.

Philip turut berkata peguamnya ada menyuarakan bantahan dalam prosiding hari ini di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, bahawa perintah itu tidak mempunyai asas, memandangkan kes itu melibatkan dua wanita Mongolia disyaki dirogol oleh inspektor polis berkenaan, tanpa ada elemen penyeludupan manusia.

Philip mendakwa dua mangsa rogol itu diculik di satu sekatan jalan polis pada 9 April dan pada 10 April ketiga-tiga wanita itu menghantar mesej pesanan dalam kumpulan sembang bagi mendapatkan pertolongan, sebelum menghubungi pihak polis.

Peguam itu menjelaskan bahawa pada 10 April, polis tiba di tempat kejadian dan meminta ketiga-tiga wanita itu untuk pergi ke sebuah balai polis untuk membuat laporan berhubung insiden itu.

Ketiga-tiga mereka akur berbuat demikian sebelum pulang ke rumah kemudiannya.

Pun begitu, pada 11 April, kata Philip, pihak polis pergi ke rumah ketiga-tiga wanita berkenaan dan menahan mereka.

“Ketiga-tiga wanita itu tidak merasakan perintah perlindungan interim itu perlu untuk perlindungan (mereka). Mereka hanya mahu pulang (ke Mongolia) dan agar pihak kedutaan (Mongolia) memastikan keselamatan mereka,” tambahnya lagi.

Philip turut menambah keadaan itu menjadi semakin buruk apabila ketiga-tiga wanita itu membuat aduan bahawa maklumat peribadi dari telefon pintar mereka didapati telah dibocorkan ke media sosial ekoran penahanan mereka.

“Mereka lebih takut (apabila) mereka datang untuk membantu dua rakan mereka (mangsa rogol), dan mereka dikenakan perintah perlindungan interim dan kemudian maklumat dari telefon pintar mereka disebarkan (dalam talian).

“Sebahagian gambar mereka di balai polis tersebar di media sosial. Mereka bertanya, bagaimana itu boleh terjadi,” kata Philip lagi. - Malaysiakini