Skip to main content

15 Soalan Ditanda Oleh Adib Ketika Di Hospital Sebelum Meninggal.


Seorang pegawai bomba hari ini memberitahu Mahkamah Koroner di Shah Alam bahawa arwah Muhammad Adib Mohd Kassim memaklumkan dia dipukul semasa rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, 27 Nov tahun lalu.

Ketua Balai Bomba Subang Jaya, Syed Shahril Anuar Syed Sulaiman, 39, berkata Muhammad Adib berkata arwah dipukul menggunakan peralatan, bagaimanapun arwah tidak nampak peralatan itu.

Syed Shahril berkata arwah mendedahkan maklumat itu menerusi soalan yang dikemukakan kepadanya.

Saksi ke-18 itu berkata beliau menyediakan sebanyak 15 soalan untuk ditanya kepada arwah selepas berbincang bersama pengarahnya.

"Saya menanyakan soalan itu kepada arwah pada 12 Dis 2018… sebelum bertanyakan soalan berkenaan, saya mendapatkan kebenaran daripada ayah arwah dan pihak hospital.

“Ketika itu, arwah kelihatan ceria dan memberangsangkan,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Hamdan Hamzah selaku pengendali inkues.

"Saya masuk ke dalam bilik bersama seorang rakan saya bernama Shafie… saya membawa dokumen yang mengandungi soalan untuk arwah ditandakan. Ketika itu arwah baru selesai fisioterapi, kemudian saya bagi dokumen berkenaan kepada arwah.

"Saya tanya, ‘Adib boleh menulis ke? Dia menunjukkan syarat "thumbs up".

“Adib memegang dokumen berkenaan dengan tangan kiri sebab dia kidal. Kemudian dia meminta pen dengan isyarat tangan... dia ambil pen dan membaca semua soalan, saya pun bacakan soalan berkenaan," katanya sambil menambah dua orang jururawat bersama mereka ketika arwah menjawab soalan berkenaan.

Lima belas soalan yang ditanyakan kepada arwah adalah seperti diberikut.

1. Adakah perusuh cuba membuka pintu van EMRS? Dia menandakan di ruang "Ya".

2. Adakah Adib cuba menghalang mereka daripada membuka pintu EMRS. Dia menjawab "Ya".

3. Adakah mereka berjaya membuka pintu van EMRS? "Ya"

4. Apakah perasaan Adib ketika mereka membuka pintu EMRS? Adib menandakan ruang "tertekan"

5. Adakah Adib ditarik keluar daripada EMRS? "Ya"

6. Jika ditarik, mereka tarik di bahagian mana? Adib menjawab "bahu".

Kepada soalan ketujuh dan kelapan iaitu "adakah Adib jatuh" dan "adakah semasa Adib jatuh, Adib ditarik", saksi itu berkata Adib hanya menggeleng kepala seolah tidak ingat. Dia tidak menjawab dalam dokumen berkenaan.

Saksi itu juga berkata, Adib juga tidak menjawab soalan kesembilan iaitu "semasa Adib dipukul, Adib sedar atau tidak". Dia hanya menggelengkan kepalanya.

Bagi soalan ke-10 adakah mereka memukul dengan peralatan, Adib menjawab "Ya".

Bagi soalan ke-11, iaitu jika guna peralatan, ada nampak tak peralatan, Adib menjawab "tidak".

Bagi soalan ke-12, objek apa yang digunakan perusuh sama ada batu, kayu, botol dan lain-lain, arwah menandakan di ruang "lain-lain peralatan".

Soalan ke-13, adakah Adib sedar di lokasi atau di hospital, dia menandakan "hospital".

Soalan ke-14, adakah Adib berasa terancam dia menjawab "Ya", manakala bagi soalan ke-15, adakah Adib cuba bertindak mempertahankan diri, arwah tidak menjawab tetapi hanya menunjukkan isyarat tidak ingat.

Selepas selesai menanyakan kesemua soalan itu kepada arwah selama kira-kira 25 minit, Syed Shahril Anuar berkata beliau kemudian beredar dari hospital dan memaklumkan perkara itu kepada pengarahnya.

Ketika menceritakan detik-detik arwah berkhidmat di Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, saksi itu berkata hubungan di antara beliau dan arwah adalah sebagai "brotherhood" walaupun arwah baru berkhidmat empat tahun.

"Ada satu hari, arwah meminta cuti kahwin kepada saya, jadi saya pun berguraulah dengan mengatakan kad jemputan pertama kena bagi kepada saya, baru saya akan meluluskan cuti...kami pun ketawa bersama," katanya sambil mengesat air matanya.

Ketika menceritakan perwatakan arwah, saksi itu berkata arwah adalah seorang yang suka membantu orang dan suka senyum.

"Saya juga mencadangkan nama arwah untuk menerima anugerah perkhidmatan cemerlang," katanya.

Ketika ditanya peguam Shazlin Mansor yang mewakili keluarga arwah, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan juga Bomba tujuan saksi menyediakan soalan berkenaan, beliau berkata ia kerana ketika itu wujud spekulasi, arwah dilanggar atau dicederakan serta timbul perasan ingin tahu perkara yang sebenar.

Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov tahun lalu dan menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis lalu di Institut Jantung Negara.

Inkues di hadapan Koroner Rofiah Mohamad bersambung esok.- Bernama

Popular posts from this blog

Konflik dalaman keluarga punca suami kelar isteri, bakar 4 kenderaan di rumah mentua

TANGKAK – Polis mengesahkan bahawa punca seorang suami mengelar isterinya sehingga maut berpunca daripada konflik dalaman keluarga yang dihadapi pasangan tersebut. Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib berkata, pada mulanya pihak polis menerima laporan berkaitan kejadian kebakaran melibatkan empat buah kenderaan. Bagaimanapun, suspek yang dibawa ke balai polis kemudian memaklumkan bahawa isterinya telah meninggal dunia di kediaman mereka di Bukit Gambir. “Bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota polis telah digerakkan ke rumah suspek dan mendapati isteri suspek telah meninggal dunia dengan kesan kelar pada leher. “Mayat mangsa ditemui dalam keadaan berselubung dan sebilah pisau berlumuran darah yang dipercayai digunakan dalam kejadian turut dijumpai berhampiran wanita tersebut,” katanya ketika dihubungi pada Rabu. Beliau turut memaklumkan bahawa hasil ujian air kencing terhadap suspek didapati negatif daripada sebarang pengaruh dadah. Sebelum ini, katanya, s...

VIDEO: Kena Serang Dihadpan Rumah Kena Pukul Depan Bini

Alor Setar, 20 April — Seorang individu mendakwa telah diserang oleh beberapa individu dalam satu kejadian yang berlaku sekitar jam 7 petang di hadapan rumahnya di Taman Mas Merah, Alor Setar, Kedah. Menurut mangsa, insiden tersebut berpunca daripada salah faham dan ketidakpuasan hati suspek selepas mangsa menegur isteri salah seorang pelaku berhubung tindakan memotong kenderaan secara mengejut untuk memasuki simpang. Kejadian itu berlaku di hadapan ahli keluarga mangsa dan bukan sahaja menyebabkan kecederaan fizikal, malah meninggalkan trauma yang mendalam. Mangsa menyifatkan kejadian tersebut sebagai sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku kepada sesiapa, apatah lagi di kawasan kediaman sendiri yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat. Rakaman kejadian melalui kamera litar tertutup (CCTV) telah diperoleh dan satu laporan polis telah dibuat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM). Mangsa turut memaklumkan bahawa semua bukti berkaitan telah diserahkan dan beliau bersedia memberi kerjasa...

Tular Video Bomba Selamatkan Mangsa Bas Yang Meragut Nyawa 15 (UPSI)

Terdahulu, dilaporkan bahawa 15 pelajar terbunuh dalam satu kemalangan membabitkan sebuah bas pelajar dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza di sepanjang Lebuhraya Timur-Barat (Jalan Raya Timur Barat) awal pagi ini. Bas berkenaan sedang dalam perjalanan dari Jerteh, Terengganu ke kampus utama universiti tersebut