KUALA LUMPUR: Kehidupan Aandy sebagai “bapa ayam” bermula dengan proses tawar-menawar dengan pelanggan yang ingin “menikmati” tubuh pekerja seks atau pelacur di rumah pelacuran yang dikendalinya sehinggalah menguruskan bayi yang dilahirkan mereka.
Walaupun menerima cemuhan masyarakat dengan kerjayanya itu, Aandy, 47, sanggup berkorban apa sahaja demi masa depan bayi yang dilahirkan pekerja seksnya.
Dia percaya dengan menjual dan menyerahkan bayi hasil hubungan pekerjanya kepada pasangan yang tidak mempunyai zuriat sebagai satu perkhidmatan bersifat kemanusiaan.
Kata Aandy, dia menyelia kira-kira 20 pekerja seks di rumah pelacurannya yang terletak di Jalan Petaling. Kebanyakan mereka adalah wanita dari China, Thailand dan Arab.
Tambahnya, sekurang-kurangnya 3 hingga 10 bayi dilahirkan dalam tempoh setahun disebabkan beberapa faktor dan permintaan mendesak daripada sesetengah pihak.
Jelas Aandy, terdapat beberapa ejen yang menjalankan perkhidmatan mencari bayi angkat menghubunginya untuk bertanyakan sama ada dia mempunyai pekerja seks yang sedang hamil.
Hal ini, katanya, ejen tersebut berasa mudah berurusan dengan individu sepertinya dan “bapa ayam” lain yang mahukan wang dan keuntungan sehingga sanggup melakukan apa sahaja termasuk menjual bayi kepada sindiket pemerdagangan manusia.
Menurut Aandy yang juga bekas pelayan bar di Kota Damansara, dia dan seorang lagi rakan perniagaannya membuat pertemuan dengan pengurusan ejen tersebut untuk membuat rundingan mengenai permintaan bayi sejak awal 2015.
“Masa itu saya baru ambil tempat ini (rumah pelacuran) daripada kawan. Saya jaga sahaja bagi ‘bisnes’ jalan. Tapi mereka (ejen) datang tanya tentang jual bayi dan pelacur mengandung.
“Saya mulanya tak mahu layan, tapi bila berjumpa dengan pihak ejen dan diceritakan tujuan sebenar, hati saya jadi tersentuh,” kataya kepada FMT ketika ditemui 300m dari pintu masuk rumah pelacurannya.
Aandy berkata dia tidak teragak-agak untuk membantu ejen tersebut mendapatkan bayi daripada pekerja seks kendaliannya kerana perasaan kasihan yang tinggi kepada pasangan berkahwin yang tidak mempunyai zuriat.
Malah, katanya, terdapat beberapa pasangan berkahwin yang datang berjumpanya untuk memberikan wang sagu hati sebagai tanda terima kasih.
“Tahun lepas, bulan Februari, ada suami isteri dari Cameron Highlands datang jumpa saya mahu bagi RM10,000. Saya bantu pasangan Cina itu dengan memberikan seorang bayi lelaki hasil hubungan seks pekerja saya dengan pelanggan.
“Bayi itu memang comel dan sihat,” katanya sambil menambah sejak pertemuan bersama ejen tersebut, dia sering menasihati pekerja seksnya untuk tidak menggugurkan kandungan jika disahkan hamil.
Tambahnya, dia tetap memberikan perlindungan kepada pekerjanya yang hamil termasuk makan minum, tempat tinggal dan elaun khas pemeriksaan kesihatan.
“Jika dia (ibu) sihat, bayi pun sihat. Kita nak bagi orang pun rasa baik sikit,” katanya dengan menegaskan tiada sebarang wang dan cas dikenakan kepada ibu bapa angkat bayi tersebut.
Kata Aandy, dia hanya meminta wang saguhati yang setimpal kepada ibu kandung bayi bagi mengenang jasa melahirkan dan menyusu bayi walaupun seketika. Katanya, kebanyakan bayi diambil seawal usia 4 hari di hospital tempat bayi tersebut dilahirkan.
Aandy menunjukkan beberapa gambar bayi yang dilahirkan oleh pekerjanya dan perbualan melalui WhatsApp antara dia dan keluarga angkat bayi tersebut. Terdapat juga perbualan yang sudah bermula sejak 2017 hingga kini yang menceritakan tentang perkembangan bayi tersebut.
“Memang saya tak bagi pekerja saya hubungi keluarga angkat, jangan ganggu pekerja saya. Mereka mahu teruskan hidup cara mereka.
“Tapi ibu bapa angkat ini hubungi saya pula. Mereka hantar gambar sambut hari lahir, gambar sambut Raya, Krismas dan gambar tidur pun ada. Memang saya tak balas, bagi emoji senyum sahaja. Tapi hati saya banyak senang, tengok budak-budak itu ada orang sayang.”
Sebelum ini, FMT melaporkan segelintir pasangan berkahwin yang belum dikurniakan anak memilih mengambil anak angkat melalui ejen luar daripada agensi kerajaan dengan menyifatkan prosedur kerajaan sulit dan menyukarkan hasrat mereka memiliki anak angkat.
Disebabkan alasan itu, mereka rela membayar harga dengan lebih tinggi demi urusan yang cepat dan tidak menyulitkan keadaan.
Seorang lagi “bapa ayam” di sebuah rumah pelacuran kecil dan usang di Jalan Ulu Pudu, menceritakan kisah peribadinya yang sanggup mencari sendiri ibu bapa angkat untuk anak pekerja seksnya.
Lelaki tua yang mahu dikenali sebagai Hock, 67, berkata, rumah pelacurannya hanya menunggu masa ditutup kerana tidak mampu bertahan dengan saingan pusat pelacuran yang lebih mewah.
Rumah pelacuran yang mempunyai 11 pekerja seks itu sudah beroperasi sejak 2003 dan Hock adalah “tauke” yang ke-9 sejak ia beroperasi.
Kata Hock, dia sangat sayangkan bayi yang dilahirkan pekerjanya dan pengalaman pahit yang dialaminya beberapa tahun dahulu menyebabkan dia nekad mencari keluarga angkat untuk bayi yang bakal dan sudah dilahirkan.
“Dulu, ada seorang budak lelaki duduk sini dengan mak dia. Mak dia sudah lama kerja sini. Dia pergi sekolah saya bayar. Dia balik sekolah mahu makan, saya bagi. Lepas sekolah rendah, dia ikut geng ramai-ramai. Tidak balik sini.
“Ibu dia pun dia tak mahu datang tengok, saya juga dia tak mahu datang tengok. Saya tahu dia sudah senang sikit, kerja dengan tauke lain. Duduk sini susah, saya faham,” katanya.
Atas sebab itu dia tidak mahu mana-mana bayi yang dilahirkan pekerjanya dibesarkan di situ. Jelasnya, dia akan buat sehabis baik untuk memastikan bayi yang dilahirkan mendapat keluarga angkat yang sudi menerima bayi itu dan membesarkannya dengan penuh kasih sayang.
“Saya mahu mereka jadi orang. Tak perlu ingat mak mereka kat sini, pekerja saya ramai tua, sudah mahu ‘mati’. Tak larat buat ‘kerja’,” katanya kepada FMT sambil ketawa.
Sementara itu, seorang pekerja seks di rumah pelacuran Hock, berkata, perkara tersebut merupakan realiti sejak 20 hingga 30 tahun lalu.
Caster, 33, anak kelahiran Sarawak berkata, dia dan rakan-rakannya tidak terlepas daripada situasi “hamil mengejut”.
Bagaimanapun, katanya, mereka sudah cukup mahir “membuang” janin yang tidak diundang itu di mana-mana tempat yang selamat di sekitar Lembag Klang.
“Kalau simpan, anda mahu lihat anak-anak itu membesar di sini? Buat kerja sekolah sambil dengar mak ‘buat kerja’?
“Kalau ada yang lahirkan bayi, mereka akan jual bagi orang. Atau ada pihak yang datang tawarkan nak beli,” katanya yang mengakui pernah menjual 2 bayinya kepada keluarga angkat dari Ipoh, Perak dan Skudai, Johor.
Menurutnya, bayi pertamanya akan menjengah usia 10 tahun pada tahun depan dan bayi kedua berusia 4 tahun pada Mei lalu.
“Perasaan sedih, teringat dan rindu memang ada. Selama 9 bulan bayi itu dalam perut. Tapi bila dapat tengok mak ayah angkat mereka datang ambil naik kereta cantik, pakai baju cantik-cantik, saya jadi lega.
“Saya tahu, mereka boleh bahagia.” - Free Malaysia Today