Video: Lelaki Ini Terima Padah Pecahkan Cermin


GOMBAK - Seorang lelaki yang tular di media sosial akibat berkelakuan agresif memecahkan cermin hadapan sebuah kenderaan semalam ditahan pihak berkuasa.

Kejadian tersebut berlaku dalam insiden kemalangan jalan raya di lampu isyarat Greenwood pada jam 11.15 pagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Arsad Kamaruddin berkata, dalam kejadian tersebut, pemandu van Nissan N200 berusia 25 tahun telah melanggar sisi belakang motosikal Yamaha Y125 ditunggang suspek berusia 26 tahun sebelum penunggang motosikal terbabit bertindak ganas dengan cuba mencederakan selain merosakkan van pengadu.

"Pengadu berhenti di lampu isyarat dan menurunkan cermin tingkap untuk berbincang, namun suspek mengeluarkan besi pengunci motosikal dan menghayun ke arahnya sehingga terkena pada bahunya.

"Pengadu terus beredar dan berhenti sekali lagi di tepi jalan besar Greenwood untuk berbincang dan meminta maaf tetapi suspek cuba memukul pengadu sebelum memecahkan cermin hadapan van menggunakan objek sama," katanya.

Katanya, bimbang dicederakan, pengadu hanya menunggu dalam kenderaan sambil merakam perbuatan suspek dan beredar meninggalkan lokasi.

Akibat kejadian itu katanya, van pengadu mengalami kerosakan pecah cermin hadapan, calar dan kemik di beberapa bahagian, namun pengadu tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Tangkapan telah dibuat ke atas suspek bersama objek yang digunakan untuk merosakkan kenderaan pengadu. Turut dirampas topi keledar dan motosikal suspek," katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan 427 Kanun Keseksaan. - Sinar Harian