Shah Alam - Mohd Zawawi Ahmad Mughni yang merupakan calon PKR yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis hari ini sekali lagi meluahkan kekesalan apabila dirinya sekali lagi telah menjadi mangsa serangan fitnah yang menyentuh keperibadiannya.
Menerusi sebuah video klip yang tersebar mendakwa bahawa Mohd Zawawi sedang menari dan video tersebut telah ditonton oleh ramai orang termasuklah pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.
Dengan tersebarnya video klip terbabit jelas menunjukkan bahawa Barisan Nasional (BN) sengaja melakukan kempen secara tidak sihat tersebut dengan menyebarkan bahan-bahan palsu terbabit bagi meraih undi berbanding membuat tawaran kepada pengundi di kawasan berkenaan.
"Baru-baru ini mereka menularkan video seolah-olah seperti saya. Video itu ditonton dan dikongsi oleh ribuan orang. Saya tidak tahu bila dan di mana ia berlaku. Saya tengok sebentar sahaja malam tadi. Saya tengok rata-rata komen penonton kata mereka tidak percaya.
"Kalau tengok video sendiri boleh lihat itu bukan saya. Pengundi di DUN Sungai Kandis kenal saya. Saya bukan kaki joget dan kaki kelab. Saya lihat kadang-kadang mereka mahu 'overkill' saya supaya pengundi menyampah dan meluat dengan saya.
"Cuma saya mahu ingatkan, elakan budaya fitnah. Kita bersaing dalam sistem demokrasi dengan adil dan bersih," katanya pada sidang media harian calon PKR, Sungai Kandis di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Kampung Sungai Kandis, hari ini.
Beliau berkata begitu adalah bagi menjawab pertanyaan serta mengulas perkara berhubung klip video yang telah tersebar yang medakwa bahawa individu didalam video berkenaan adalah dirinya yang sedang menari.
Walaubagaimanapun, Zawawi memberitahu bahawa dia sebenarnya sudah sedia maklum serta telah menjangkakan bahawa akan ada serangan fitnah serta bohong yang akan disebarkan mengenai dirinya sejurus sahaja dia diumumkan menjadi calon dalam PRK Sungai Kandis.
"Saya dah jangka dengan cerita bohong seperti ini, jadi saya tidak ambil berat dengan sebaran itu. Berani kerana benar.
"Laporan polis juga saya sudah buat supaya tiada lagi cerita bohong dan fitnah dalam persaingan politik di Malaysia. Jika masih berterusan saya akan ambil tindakan selanjutnya.
"Saya minta rakyat Malaysia khusunya penduduk Sungai Kandis untuk semak terlebih dahulu (sebarang bahan yang diterima) baru sebar. Pastikan kesahihan. Al-Quran itu sudah memberi panduan yang jelas untuk memastikan berita itu benar sebelum berkongsi," katanya.
Beliau juga turut ditanya berkenaan isu khabar angin yang mengatakan bahawa beliau bakal menggantikan Prof Dr Shaharuddin Badaruddin sebagai Pengerusi Jatankuasa Tetap Ehwal Agama Islam, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan jika beliau menang dalam PRK Sungai Kandis.
Zawawi hanya menjawab bahawa dia akan menyerahkan segala-galanya kepada pucuk pimpinan dalam urusan tersebut,
"Saya tidak mendengar berita berkenaan dan hanya serahkan kepada pucuk kepemimpinan.
"Tumpuan saya untuk menang besar dalam PRK Sungai Kandis kali ini. Jika diberi amanah, insya-Allah, saya akan cuba sebaik mungkin," katanya. - Berita Harian Online