Powered by Blogger.

Monday, June 18, 2018

Jamal Kata Kerajaan Guna Hukum Rimba Terhadapnya.


Ketua Umno bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos dikatakan percaya kerajaan baru mengenakan "hukum rimba" terhadapnya.

Perkara itu disampaikan wakilnya Armand Azha Abu Hanifah hari ini, yang mendakwa Jamal ada menghubunginya hari ini.

"(Saya) bercakap dengan beliau pagi tadi, beliau kata tindakan kerajaan hari ini lebih kepada mencari kesilapan lampau, tanpa (mengikut) kedaulatan undang-undang yang sebenar.

"Hari ini kita lihat kerajaan baru hari ini lebih (mengikut) 'rule of the jungle' (hukum rimba) terutama untuk menjatuhkan hukum terhadap Jamal," katanya ketika ditemui pemberita di PWTC, Kuala Lumpur, hari ini.

Jamal yang melarikan diri daripada buruan polis sejak bulan lalu bertanding jawatan ketua pemuda dalam pemilihan Umno kali ini. Armand mewakilinya untuk menghantar borang pencalonan.

Dia diburu atas beberapa dakwaan kesalahan termasuk membawa senjata api dalam keadaan mabuk atau tidak senonoh.

Armand (gambar) bertegas Jamal layak untuk bertanding walaupun kini menghilangkan diri.

Sejumlah sembilan calon layak untuk bertanding jawatan ketua pemuda dalam pemilihan yang akan bermula hujung bulan ini.

Sekretariat pemilihan Umno mengesahkan Jamal layak untuk bertanding dan merupakan calon nombor enam.

Dalam pada itu, Armand berkata beliau yakin Jamal masih berada di dalam negara.

"Beliau pernah mengumpulkan anak-anak muda untuk berdepan dengan Bersih, ia sebahagian daripada kelebihan dia sebagai calon," katanya lagi.

Selepas menghilangkan diri sejak 25 Mei lalu, polis telah mengeluarkan waran tangkap terhadapnya untuk menangkap ahli politik kontroversi itu.

Sebelum ini Sesi cabutan nombor giliran calon Pemilihan UMNO gamat seketika apabila nama Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Mohd Jamal Md Yunos dipanggil untuk membuat cabutan.

Calon dan wakil calon serta wartawan dilihat tercari-cari kelibat Mohd Jamal dalam Dewan Auditorium Menara Dato' Onn di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini, ketika namanya dipanggil mencabut nombor giliran bagi jawatan Ketua Pemuda UMNO.

Situasi itu menyebabkan dewan gamat dengan hilai tawa, di samping nama beberapa individu disebut untuk mewakili Mohd Jamal.

Bagaimanapun, harapan hadirin dan wartawan mahu melihat Mohd Jamal muncul di dewan itu tidak menjadi kenyataan, sebaliknya Exco Pemuda UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah, tampil mewakilinya untuk cabutan itu.

Ketua Setiausaha Bahagian UMNO, Datuk Norazuwan Aziz, mengumumkan Mohd Jamal mendapat giliran keenam selepas Armand Azha mencabut nombor giliran itu.

Armand kemudian secara berseloroh berkata 'yang penting bukan nombor terakhir' sambil disahut gelak tawa calon serta wakil calon yang hadir.