KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki yang dipercayai mencabul jururawat di wad sebuah hospital di daerah ini, ditahan polis petang tadi, selepas dua minggu menghilangkan diri.
Suspek berusia 46 tahun dikatakan ditahan polis di bandar ini kira-kira jam 3 petang tadi, selepas usaha mengesannya sejak 20 November lalu tidak berhasil.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos, ketika dihubungi mengesahkan menahan suspek.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.20 pagi pada 20 November lalu, tugasan seorang jururawat memeriksa pesakitnya di wad sebuah hospital di sini, terganggu apabila dia dicabul seorang pesakit lain.
Menurut sumber, sebelum kejadian, mangsa sedang melakukan pemeriksaan terhadap seorang pesakit di wad berkenaan, sebelum didatangi suspek yang dalam perjalanan ke tandas.
Katanya, kejadian menimpa mangsa berusia 33 tahun turut disaksikan beberapa rakannya yang berada di kawasan berhampiran.
“Suspek yang juga pesakit di wad berkenaan sedang berjalan menuju ke tandas sebelum dia menghampiri jururawat berkenaan lalu bertindak mencabul mangsa,” katanya.
Sumber berkata, mangsa yang terkejut diperlakukan sedemikian kemudian membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu pada 20 November lalu untuk tindakan lanjut.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek berada di wad hospital itu kerana mendapatkan rawatan berikutan mengalami jangkitan kuman pada paru-paru.
“Siasatan juga mendapati, suspek dipercayai mengalami masalah mental dan mempunyai rekod rawatan psikiatri di hospital berkenaan,” katanya.
Susulan laporan dibuat mangsa, polis menggerakkan usaha untuk menahan suspek, namun dia sudah dibenarkan keluar wad pada hari sama dan gagal ditemui di rumahnya. - Berita Harian Online