Lelaki Penggal Dan Makan Otak Wanita Mati Ditembak Polis


Suspek utama yang didakwa membunuh dan memenggal seorang wanita di wilayah Talisayan, Misamis Oriental, Filipina pada Jumaat lalu maut ditembak polis.

Lloyd Bagtong, 21, yang sebelum ini ditahan setelah dipercayai terlibat dalam pembunuhan kejam tersebut ditembak selepas merampas pistol daripada seorang pengiring polis dan menembak seorang pegawai lain.

Terdahulu, lelaki itu ditahan selepas didakwa memenggal kepala seorang wanita dan memakan otaknya hanya kerana mangsa bercakap dengannya dalam bahasa Inggeris.

Berdasarkan laporan polis, Bagtong, yang juga penduduk Kampung Casibole di Talisayan, ditembak tiga kali ketika diiringi polis dari Talisayan ke Cagaya de Oro bagi tujuan siasatan di Pejabat Pendakwa Wilayah sekitar jam 7.40 pagi.

Kejadian dipercayai berlaku apabila tayar kenderaan pengiring pecah kira-kira 62 kilometer dari Talisayan dan 30 kilometer dari Cagayan de Oro.

Menurut Ketua Polis Talisayan, Kapten Maribeth Ramoga, suspek dibawa ke bandar tersebut bagi tujuan prosiding inkues kerana tiada pendakwaraya yang bertugas di Talisayan ketika itu.

Ketika dalam perjalanan, Bagtong dilapor meminta kebenaran untuk turun membuang air kecil ketika kenderaan mereka sedang berhenti.

Pegawai polis yang mengiringinya mengubah posisi tangan Bagtong ke hadapan dan secara tiba-tiba suspek itu mengambil peluang merebut pistol dan melepaskan tembakan ke arah pengiringnya.

Bagaimanapun, tiada anggota polis yang cedera dan suspek berjaya melepaskan hanya satu tembakan sebelum ditembak tiga kali oleh salah seorang pengiring.

Bagtong terkena dua das tembakan di bahagian dada dan satu das lagi di bahagian sisi badan, tambah Delos Santos.

Susulan itu, Bagtong dikejarkan ke hospital berdekatan namun disahkan meninggal dunia. - Astro AWANI