Powered by Blogger.

Thursday, June 7, 2018

Gila Kuasa Punca Umno Kurang Pemimpin Muda


Sikap 'gila kuasa' dikatakan antara punca Umno ketandusan pemimpin muda dalam parti itu kata Bekas Ketua Penerangan Umno Cawangan Pusat Bandar Taman Cempaka, Syed Rosli Syed Harman Jamalullail.

Menurut laporan Sinar Harian, Syed Rosli berkata masalah itu berlaku di peringkat akar umbi lagi, iaitu melibatkan cawangan dan bahagian parti.

"Umno mempunyai satu masalah iaitu tidak beri peluang kepada orang muda, di mana kebanyakan sikap dan mentaliti ketua-ketua cawangan (Umno) dan pemimpin-pemimpin cawangan, 

"Ia bertambat lagi apabila mereka mempunyai ahli-ahli pemuda yang berpelajaran tinggi atau ada pekerjaan yang baik seperti peguam dan doktor hendak masuk ke cawangan mereka"

"Mereka beri halangan kerana golongan seperti ini dianggap akan memberi ancaman kepada kedudukan mereka sebagai ketua cawangan atau pemimpin dalam cawangan."

"Inilah masalah Umno, yang dalam bahasa kasarnya 'gila kuasa'. Ada ketua cawangan sudah berusia lebih 65 tahun, 70 tahun pun ada."

"Jadi apabila ada orang muda umur 28 atau 30 tahun dari latar belakang pendidikan dan pekerjaan yang baik, mereka akan halang golongan ini untuk mendapatkan kedudukan dalam cawangan lagi, " katanya kepada Sinar Harian, di sini, hari ini.

Syed Rosli yang menwarkan diri bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno itu berkata, Umno perlu menyelesaikan segera masalah tersebut untuk menarik golongan muda menyertai parti tersebut.

"Kalau Umno tak selesaikan masalah ini lagi, Umno tidak akan ke mana-mana dan orang-orang muda khususnya akan lari bersama Pakatan Harapan kerana kita lihat jelas dalam Harapan, majoriti orang muda diberikan peluang seluas-luasnya dalam PKR, DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan Parti Amanah Negara.

"Kita lihat contohnya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Ahli Parlimen Muar), pemimpin muda bawah 30 tahun yang diberikan peluang seluas-luasnya untuk mereka melontarkan pandangan dan jadi calon ahli Parlimen. Ini tidak berlaku dalam BN dan walaupun kita ada golongan profesional dalam Umno, tetapi tidak banyak disebabkan kongkongan ini," katanya.

Menurutnya, sejak 2013 lagi Umno telah membuka ruang kepada ahlinya untuk bertanding dalam pemilihan parti dengan syarat paling minimum bagi mengelakkan politik wang atau tindakan melobi jawatan.

"Dengan keahlian tiga tahun, boleh bertanding untuk sayap parti melibatkan wanita, puteri dan pemuda. Untuk jawatan ahli majlis tertinggi, naib presiden, timbalan presiden dan presiden pula disyaratkan sepenggal menjadi ahli jawatan kuasa bahagian, berbanding dulu yang memerlukan sehingga lebih 20 pencalonan untuk bertanding.

"Jadi bagi saya tiada masalah atau halangan untuk bertanding, namun masalah daripada peringkat cawangan dan bahagian masih ada yang menjadi kekangan untuk orang muda aktif," katanya.

Kelmarin, Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq berkata, Umno seolah-olah ketandusan tokoh anak muda apabila Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos yang berumur 48 tahun menawarkan diri sebagai calon Ketua Pemuda parti itu. - Sinar Harian