Ahli Parlimen Bagan Serai Keluar Umno, Sokong Tun Dr Mahathir


Anggota Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali mengumumkan keluar daripada Umno bagi menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta kerajaan negeri dan Pakatan Harapan.

"Saya dengan ini umumkan, bahawa mulai saat ini saya keluar dari Umno dan BN, dan isytiharkan sokongan saya kepada Tun M dan kerajaan Pakatan Harapan (serta) MB Perak, Faisal Azumu," kata Azmi pada sidang akhbar yang disiarkan secara langsung oleh Sinar Harian.

Noor Azmi berkata beliau pada masa ini akan menjadi anggota parlimen bebas dan merancang akan menyertai Parti Pribumi Bersatu (BERSATU).

Keputusan beliau keluar daripada Umno menyebabkan parti itu kini hanya memiliki 53 kerusi parlimen, manakala BN memiliki 56 kerusi secara keseluruhan.

Noor Azmi memenangi perlimen Bagan Serai dengan majoriti tipis 172 undi berbanding pencabarnya dari PAS, Rohaya Bakar pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

Ditanya sama ada beliau keluar dari parti itu kerana kecewa dengan keputusan PRU, Azmi berkata beliau sebelum ini sentiasa dianggap sebagai 'penghalang' dalam Umno.

"Dalam lima tahun ni saya memang tak diterima oleh ahli bahagian," katanya yang menjelaskan beliau juga tidak diterima memegang jawatan dalam bahagian.

Noor Azmi turut mendakwa pada PRU lalu, terdapat usaha oleh Umno Bagan Serai untuk mensabotaj pencalonannya.

Bagaimanapun, Noor Azmi berulang kali menegaskan bahawa tindakan beliau menyokong HARAPAN adalah supaya dapat berkhidmat kepada rakyat dengan lebih baik.

"Tanya rakyat Bagan Serai. Saya bukan YB Datuk Dr Azmi. Saya Doktor Azmi. Saya yang sunatkan anak cucu-cucu tuan.

"Saya kerja doktor dah 30 tahun. Klinik saya dah hampir 27 tahun," katanya.

Noor Azmi juga berharap dengan sokongan terhadap HARAPAN, kerajaan akan memberikan bantuan kepada penduduk Bagan Serai.

"Tanpa kuasa dan peruntukan yang kuat, kita tak dapat tolong rakyat," katanya.

Menurut Noor Azmi, masalah dihadapi di Bagan Serai melibatkan isu pendidikan, pertanian dan sosioekonomi, serta kemudahan bekalan air di kawasan pedalaman. - Malaysiakini