Powered by Blogger.

Tuesday, June 12, 2018

5 Gambar Menarik Donald Trump Dan Jong-un Di Singapura


Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bersedia untuk menjemput Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un ke Rumah Putih selepas sidang kemuncak bersejarah di sini, hari ini.

Ketika menjawab soalan wartawan sama ada beliau akan menjemput Jong-un ke Washington, Trump berkata: "Sudah pasti, Saya akan."

Trump juga memastikan kedua-dua pemimpin bakal mengadakan beberapa pertemuan sebagai rumusan kepada sidang kemuncak julang kali itu.
 

"Kita akan berjumpa lagi dan kita akan berjumpa beberapa kali," kata Trump selepas majlis menandatangani, bersama Jong-un di anjung tempat pertemuan pertama mereka.

Pada masa sama, Jong-un selepas sidang kemuncak itu berkata kedua-dua negara memutuskan untuk 'meninggalkan kisah silam'.

"Hari ini, kami mengadakan pertemuan bersejarah dan memutuskan untuk meninggalkan kisah silam dan kami akan menandatangani dokumen bersejarah," katanya.
 

Jong-un turut berterima kasih kepada Trump kerana merealisasikan pertemuan itu dan berkata: "Dunia akan melihat perubahan besar".

Donald Trump menganggap sidang kemuncak bersejarah bersama pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, hari ini, berjalan lancar dan lebih baik berbanding apa yang dijangka oleh mana-mana pihak.

Malah, Trump berkata, kedua-dua pihak bakal menandatangani dokumen susulan perbincangan yang berlangsung hari ini, sekali gus menjurus kepada usaha menamatkan program nuklear di Semenanjung Korea.
 

Beliau berkata demikian kepada media sambil disaksikan oleh Jong-un yang berdiri bersebelahannya, ketika kedua-dua pemimpin itu berjalan menyusuri taman di Hotel Capella di Sentosa, iaitu lokasi sidang kemuncak itu.

Terdahulu, Jong-un dilaporkan berkata, mesyuarat terbabit adalah 'satu permulaan yang baik untuk proses damai'.

"Berlaku banyak perkembangan, sangat-sangat positif. Saya rasa ia lebih baik daripada jangkaan mana-mana pihak.
 

"Yang paling utama, ia amat baik (mesyuarat). Kami akan menandatangani (dokumen)," kata Trump kepada wartawan, tanpa mendedahkan maklumat lengkap mengenai perkara yang akan ditandatangani.

Delegasi Trump turut disertai Setiausaha Negara, Mike Pompeo; Penasihat Keselamatan Negara, John Bolton dan Ketua Kakitangan Rumah Putih, John Kelly; manakala pasukan Jong-un membabitkan bekas ketua perisikan tentera, Kom Yong-chol; Menteri Luar, Ri Yong-ho serta Naib Pengerusi Parti Pekerja, Ri Su-yong. - Berita Harian Online