Pelakon Rab Khalid Meninggal Dunia Akibat Serangan Jantung


Watak Yeh Sekupang tidak asing lagi kepada peminat telefilem Rumah Pusaka Di Simpang Jalan arahan Mamat Khalid kerana memiliki gaya lakonan tersendiri dan menghiburkan penonton.

Khalid Shamsuri, 48, atau nama panggilannya Rab Khalid yang berasal dari Parit Buntar, Perak itu adalah seorang pengarah yang terlibat dalam beberapa program televisyen seperti Yok Skuba.

Rab Khalid disahkan meninggal dunia pada 4.15 petang semalam, 25 Januari di Unit Penjagaan Koronari (CCU) Hospital Ampang akibat serangan jantung.

Rab ada mengadukan sakit dada dan tidak sihat kepada rakan rumahnya dan telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut sehari sebelum disahkan meninggal.

Ketika menghubungi ahli keluarganya, adik kepada arwah Mohd Abbas Shamsuri, 43, berkata semua ahli keluarga reda dengan kehilangan itu namun berasa sedih kerana hasrat arwah Rab tidak kesampaian iaitu kerjasama antara mereka adik beradik membuka perniagaan kafe.

“Segala urusan kafe sudah dibuat dan kami merancang membuka operasinya pada 5 Februari ini di Kelana Jaya,” katanya.

Mohd Abbas berkata dia baru berjumpa arwah abangnya minggu lalu dan mereka juga saling menghubungi setiap hari.

“Hubungan saya dan arwah abang sangat rapat. Jadi, kehilangan dia kini amat dirasai.

“Apatah lagi, perancangan kafe kami harus ditangguhkan itu saya belum fikir lagi perancangan seterusnya selepas arwah tiada,” katanya.

Urusan mandi dan kafan jenazah dilakukan di Hospital Ampang sebelum dibawa pulang ke Parit Buntar pada malam semalam untuk dikebumikan pada pagi hari ini.

Rab dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut akibat serangan jantung kali kedua, walaubagaimanapun sekitar jam 5 pagi semalam keadaan Rab semakin kritikal dan bergantung pada alat sokongan hayat.

Rab anak kedua daripada enam beradik sangat dikenali dengan lakonan komedi bersahaja menerusi beberapa karya Mamat Khalid yang di bintangi seperti Hantu Kak Limah, Hussin, Mon & Jin Pakai Toncit, Rombongan Cik Kiah Ke Kelana Jaya dan 16 Puasa.

Allahyarham juga sangat dikenali dengan panggilan Yeh Sekupang iaitu watak dilakonkan dalam filem Rumah Pusaka Di Simpang Jalan juga arahan Mamat.

Terdahulu, sebelum kematiannya Rab mempunyai hobi dan menggemari aktiviti menyelam dan mempunyai lesen open water (OWD).

Rab dipercayai terlibat dalam aktiviti menyelam sejak 18 tahun lalu dan kini sudah mencapai tahap dive master.

Menurut Allahyarham minat dalam aktiviti itu tidak disia-siakan begitu sahaja apabila turut terlibat dalam program sukarelawan melalui kumpulan penyelam Brudu Divers yang kini memiliki lebih 100 ahli.

Allahyarham mula aktif menyertai program yang berkaitan aktiviti menyelam ini sekitar tahun 2012 melalui kumpulan Brudu Divers yang ditubuhkan bersama kawan-kawannya.

Peringkat awal aktiviti banyak di sebelah Terengganu, pada 2014 beliau beralih pula ke Pulau Tioman.



Gambar menunjukkan Rab Khalid bersama rakan-rakan penyelam termasuk Pengarah Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) Pahang, Mohd Fazli Long (kiri) ketika program di Kampung Salang, Pulau Tioman.

Katanya kepada Sinar Harian, minat dan apa yang dia lakukan ini adalah kerana rasa cinta dengan kehidupan air, bukan semua orang boleh menyelam dan saya dikira beruntung dapat lihat suasana dasar laut sangat berbeza dengan darat.

Rab mengakui berasa puas hati dapat melakukan aktiviti menyelam kerana baginya kepuasan sebenar adalah dapat meramaikan kenalan.

Lebih menarik lagi dalam aktiviti menyelam ini semua sama taraf tidak kira apa pangkat mereka di luar sana.



Kenangan indah lebih banyak diperolehi sepanjang mengikuti aktiviti menyelam berbanding pahit kerana dia mempunyai ramai kenalan dan boleh berkongsi maklumat dan ilmu pengetahuan.

Keindahan dasar laut yang dihiasi terumbu karang menyebabkan Rab Khalid jatuh cinta dengan aktiviti menyelam. Editor:Farhana