Powered by Blogger.

Saturday, September 8, 2018

Siang Mengemis Malam Mereka Shopping


Di sebalik lambakan pengemis tempatan mengais rezeki di tengah ibu kota, wujud pula kumpulan pelarian perang menagih simpati orang ramai.

Tinjauan wartawan mendapati, sekumpulan wanita mendakwa dari Syria secara berasingan mengemis di kawasan Masjid India menghala ke Masjid Jamek bagi mendapatkan wang dengan meminta simpati orang ramai.

Dengan duduk bersila di lantai sambil memegang nota tulisan We are family from Syria (kami keluarga dari Syria) sudah cukup membuatkan sesiapa saja yang melewati kawasan itu bersimpati sambil menghulurkan not wang pelbagai warna.

Mungkin pakej wajah tampan dan jelita dari Asia Barat menjadikan rakyat tempatan ‘cair’ apabila mudah menghulurkan wang kepada mereka lebih-lebih lagi simpati dengan pergolakan yang berlaku di negara asal mereka.

Sebaik didekati, seorang wanita Syria berusia lingkungan 40-an itu menunjukkan jari tangan satu yang mungkin bermaksud mahu wang RM1 daripada wartawan.


Wartawan kemudian bertanyakan beberapa soalan dalam bahasa Inggeris, namun wanita itu hanya dapat mengungkapkan only Arabic (Arab saja) yang bermaksud dapat berbahasa Arab saja.

Seorang peniaga yang enggan dikenali berkata, terdapat kira-kira 10 individu dari kumpulan pengemis sama yang mengemis di kawasan itu sejak 2016.

“Lama dah, 2016 mereka mari. Dari pukul 6 petang sampai malam. JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) ambil...pernah digari tapi datang balik.

“Memang kumpulan dia dekat 10 orang. Ada yang beri (sedekah) seratus saya tengok, RM50, RM10 laju.

“Tapi, malam-malam dia shopping (membeli-belah), baju di kawasan sini,” katanya.

Menyedari kehadiran kami yang cuba merakam aksi mereka, anak dan ibu wanita itu bergegas dari kawasan untuk melarikan diri daripada lensa kamera kami.

Tidak terhenti di situ, tinjauan seterusnya di kawasan Masjid India turut menemui warga asing kurang upaya dipercayai etnik Rohingya dari Myanmar yang mengemis menagih simpati.

Seorang wanita mendakwa, warga asing kerap mengemis di kaki lima kawasan itu dan beredar sebaik mendapat wang mencukupi untuk makan dan minum.

“Dia memang cacat, dia boleh jalan tapi pincang lah. Agaknya orang luar,” kata seorang peniaga wanita yang berniaga berhampiran merujuk kepada seorang lelaki Rohingya itu.

Tinjauan wartawan bermula dari Jalan Imbi, Bukit Bintang, Hang Tuah, Masjid Jamek, Masjid India, Pasar Seni dan berakhir di Jalan Petaling mendapati rata-rata yang mengemis terdiri daripada warga asing dan tempatan.

Malah, wartawan mendapati setiap kawasan dimonopoli pengemis dari berlainan negara.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Imigresen Kuala Lumpur Hamidi Adam berkata, pihaknya sering melakukan operasi bersepadu secara berkala bersama JKM, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Warga asing memang di bawah Imigresen. Kalau kita dapat buktikan mengemis kita akan tengok dokumen, terlebih menetap di negara ini serta pelbagai kesalahan lain seperti menyalah guna pas masuk.

“Memang kita akan ambil tetapi tidak semestinya dihantar pulang ke negara asal bergantung kepada kes,” katanya. - Harian Metro