Powered by Blogger.

Friday, September 7, 2018

Video Kecoh Depan Sogo, Protes UMNO Disekat Polis


TINDAKAN peserta perhimpunan cuba berarak dari Kompleks Sogo, Jalan Tunku Abdul Rahman ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini seakan-akan mencabar undang-undang.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Shaharudin Abdullah berkata, berikutan itu pihaknya terpaksa menghalang peserta perhimpunan terbabit bagi mengelak timbul kegusaran dan mengganggu ketenteraman awam.

“Pihak penganjur tidak memberi sebarang notis dan memohon permit menyebabkan perhimpunan itu boleh dianggap sebagai satu perhimpunan haram.

“Bagaimanapun, pegawai saya sudah berbincang sebelum itu. Kita bersetuju untuk mereka berkumpul dan berucap dalam tempoh satu jam, tapi bukan berarak.

“Apa yang berlaku malam ini (tadi), kita akan buka kertas siasatan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya.

Sementara itu, Presiden Pemantau Malaysia Baharu (PMB) Datuk Lokman Noor Adam berkata, tindakan polis yang menghalang mereka daripada berarak menjadi punca kekecohan berlaku.

“Selalunya apabila dihalang, pihak polis akan membenarkan beberapa orang untuk ke balai polis. Pada malam ini tujuan kami berarak ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi adalah untuk berada jauh daripada kumpulan busker.

“Namun perkara itu tidak berlaku. Jika prosedur itu dipatuhi, tiada kekecohan atau pergelutan yang akan berlaku.

“Malangnya, pihak Ketua Polis Daerah memulakan perbincangan dengan menuding jari dan meninggikan suara, jadi saya sukar untuk kawal perasaan saya dan kumpulan ini,” katanya.

Terdahulu, perhimpunan aman ‘Majlis Pengebumian Institusi Peguam Negara’ yang dianjurkan oleh PMB bertukar kecoh selepas cubaan mereka untuk berarak ke IPD Dang Wangi dihalang oleh polis. - Harian Metro