Powered by Blogger.

Monday, September 17, 2018

Setiap Pagi Dia Menangis Dan Cederakan Dirinya


Pelakon, Zarina Zainuddin memohon orang ramai supaya memberi ruang dan membantu anaknya, Muhammah Raizal Azrai atau Azal yang menghidap autisme menjalani kehidupan sama seperti insan lain.

Zarina yang kerap berkongsi gelagat anak kembarnya, Azal dan Muhammad Razil Azrai atau Azil di Instagram akur, tidak semua orang memahami apa yang dilaluinya. Namun, sebagai ibu, dia mempunyai pendekatan tersendiri dalam membimbing zuriatnya yang sedang meningkat dewasa.

“Azal sebenarnya mampu menjalani kehidupan normal jika diberi peluang mengenali erti hidup. Perwatakan Azal sebenarnya banyak dipengaruhi abangnya, Azil yang lebih sensitif. Azil tidak boleh bercakap, malah olah bahasanya juga berbeza.

“Setiap pagi, dia akan menangis dan mencederakan dirinya jika saya terlambat membawanya membeli susu dan surat khabar. Azil akan mengamuk setiap dua jam seperti anak kecil yang meminta susu.

“Disebabkan itu, Azal sebolehnya akan keluar rumah awal pagi sebelum abangnya bangun tidur kerana bimbang terpengaruh sekiranya Azil mengamuk. Apabila mereka mengamuk, susah untuk saya leraikan dan Azal akan mengeluarkan pelbagai perkataan untuk melepaskan kemarahannya,” katanya.

Mengakui tidak sanggup memisahkan mereka, Zarina menganggap dugaan yang dilaluinya itu sebagai aturan Allah. Katanya, dia memuat naik perkongsian di laman sosial sebagai pendedahan mengenai autisme kepada orang ramai.

“Orang boleh bercakap apa sahaja tetapi kita tidak semua tidak melalui situasi yang sama. Ini aturan Allah buat saya. Bukan semua peristiwa saya kongsi kerana ada di antara rakaman itu tidak perlu dimuat naik,” kata Zarina. - Berita Harian Online