Powered by Blogger.

Monday, September 17, 2018

Rosmah Akan Didakwa Hingga 20 Tuduhan


Isteri bekas perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor dijangka akan berdepan sehingga 20 dakwaan yang kebanyakannya berkaitan pengubahan wang haram.

Menurut laporan New Straits Times, Rosmah akan didakwa "dalam masa terdekat" sementara penyiasat melengkapkan siasatan.

"Menurut sumber yang rapat dengan perkara itu, Rosmah [....] boleh didakwa sehingga 20 tuduhan jenayah, kebanyakannya dikaitkan dengan dakwaan pengubahan wang haram," kata laporan itu.

Salah satu dakwaan dikatakan mempunyai kaitan dengan "produk anti penuaan daripada AS yang bernilai RM1 juta" yang dipercayai dibeli dari wang SRC International.

"Menurut sumber, bayaran cek lebih RM1 juta dibuat kepada seorang (individu berpangkat) 'Datuk' pada Feb 2015 untuk pembelian dua set ubat yang masing-masing bernilai RM500,000," kata laporan itu lagi.

Doktor berkenaan dikatakan telah meletakkan jawatan sebagai naib presiden persatuan perubatan yang dikaitkan dengan kepakarannya.

Rosmah juga didakwa membeli "makanan kesihatan 100 peratus berasaskan tumbuhan untuk mengekalkan keremajaan, semangat, daya hidup yang didakwa merupakan anti penuaan"

Laporan itu bagaimanapun tidak memberi butiran wang yang digunakan untuk produk kedua yang dinyatakan itu.

Pada 5 Jun lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyoal siasat Rosmah berhubung siasatan kes ke atas SR International.

SRC International merupakan bekas syarikat subsidiari 1MDB dan pada 2013 ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan pada 20 Mei lalu bahawa SRC International tidak mampu membayar hutangnya dan Kementerian Kewangan terpaksa membayar RM4 bilion yang dipinjam syarikat itu dari Kumpulan Wang Persaraan. - Malaysiakini