Skip to main content

Sabar Hadapi Ujian Allah, Dugaan Tanda Allah Sayang Kita


Setiap manusia yang Allah cipta sentiasa akan diberi musibah, ujian atau masalah hidup didunia yang sementara ini.

Tipu jika seseorang itu berkata yang dia tidak pernah ditimpa musibah.

Setiap orang ada masalahnya tersendiri, Allah uji dengan berbagai-bagai ujian tetapi sebabnya adalah sama.

Allah menguji seseorang itu kerana Allah SWT mempunyai rahsianya tersendiri, sama ada Allah hendak tambah iman kita atau hendak uji sejauh mana keimanan kita.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: ‘Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya, Kami menguji orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahui-Nya orang yang berdusta.’” (Surah al-Ankabut, ayat 2-3)

Ayat al-Quran itu menjelaskan fitrah orang beriman pasti akan diuji Allah SWT. Bagi memastikan iman seseorang hamba benar-benar kukuh kepada Allah SWT, maka ujianlah yang dapat menentukannya.

Ujian bukan saja dirasai orang yang lemah dan miskin, ia juga melanda orang yang kuat dan kaya. Itulah fitrah kehidupan yang ditentukan Allah SWT.

Sebenarnya, ujian dapat mendekatkan diri seseorang Muslim kepada Allah SWT. Tidak ada tempat selayaknya diharapkan pertolongan selain kepada Allah SWT.

Selain itu, apabila dihadirkan ujian, antara perkara yang perlu disematkan dalam diri ialah perlunya untuk bersabar. Mungkin ia mudah untuk diungkap, namun sukar untuk dipraktikkan sekiranya tanpa adanya iman.

Rasulullah SAW pernah menjelaskan kehebatan orang yang beriman kerana mereka sentiasa bersyukur dan bersabar dalam menghadapi urusan kehidupan dunia.

Baginda bersabda yang bermaksud: “Sungguh menakjubkan urusan seorang Mukmin. Segala perkara yang dialaminya sangat menakjubkan. Setiap takdir yang ditetapkan Allah bagi dirinya adalah kebaikan. Apabila kebaikan dialaminya, maka dia bersyukur dan hal itu merupakan kebaikan baginya. Dan apabila keburukan menimpanya, dia bersabar dan hal itu merupakan kebaikan baginya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Apabila melalui ujian dalam hidup, selain daripada perlunya bersabar, setiap Muslim juga perlu berikhtiar dan berusaha supaya ujian yang dihadapi itu berlalu dengan lancar.

Umat Islam tidak boleh rasa lemah dan putus asa tatkala menerima ujian dalam kehidupan. Jauh sekali menyalahkan takdir Ilahi. Yakinlah, setiap ujian itu akan hadir bersamanya hikmah yang besar sekiranya dilalui dengan sabar dan berikhtiar menyelesaikannya.

Kisah ibu Nabi Isa, Maryam adalah contoh jelas betapa perlunya bersabar dan berusaha ketika melalui ujian dalam hidup. Maryam seorang wanita yang sentiasa menjaga kehormatannya.

Namun beliau dipilih Allah SWT untuk menjadi ibu kepada seorang nabi bagi kaumnya. Maryam adalah seorang insan baik, namun berdepan ujian cukup besar dalam hidupnya.

Bayangkan seorang wanita baik tiba-tiba hamil dalam keadaan dirinya tidak bersuami. Beliau dituduh dengan pelbagai tohmahan oleh kaumnya sendiri sedangkan beliau tidak pernah melakukan perkara yang dilarang.

Maryam amat sedih dengan apa yang berlaku ke atasnya sehingga merasakan lebih baik dirinya mati supaya keadannya itu dapat segera dilupakan kaumnya.

Perkara itu dinyatakan Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “(Ketika dia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma), dia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang.” (Surah Maryam, ayat 23)

Walau bagaimanapun, dengan kesabaran dan rasa reda dalam diri, Allah SWT menganugerahkan pertolongan untuk Maryam pada saat ingin melahirkan kandungannya.

Firman Allah SWT bermaksud: “Lalu dia diseru dari sebelah bawahnya: “Janganlah engkau berdukacita (wahai Maryam), sesungguhnya Tuhanmu menjadikan di bawahmu sebatang anak sungai. Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak.” (Surah Maryam, ayat 23-24)

Hayatilah dengan penuh keinsafan situasi dialami Maryam dalam ayat-ayat al-Quran berkenaan. Dalam keadaan Maryam seorang wanita baik dan menjaga kehormatannya, beliau diberi ujian oleh Allah SWT hamil ketika masih gadis.

Dalam keadaan dirinya sakit ingin melahirkan kandungannya, beliau membawa diri dan turut merasai kesakitan seperti wanita lain.

Tatkala datang pertolongan daripada Allah SWT yang menyediakan untuk Maryam air dan buah tamar, Maryam diperintah untuk menggegarkan batang pohon tamar supaya dapat makan buah-buahnya yang jatuh. Maha suci Allah SWT yang memiliki sifat Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Ketika Maryam ingin melahirkan seorang nabi, bantuan datang bagi meringankan ujian yang ditanggungnya. Namun, dia masih tetap disuruh berusaha mengurus ujian dalam hidupnya.

Boleh saja Allah SWT menghidangkan makanan terus kepada Maryam, namun beliau diperintah untuk menggegarkan pohon tamar supaya dapat dimakan buahnya.

Lihatlah betapa ujian yang datang daripada Allah SWT perlu diurus dengan usaha, bukan sekadar menunggu segalanya datang bergolek.

Ia peringatan jelas dinyatakan Allah SWT buat seluruh manusia, lebih-lebih lagi yang mengaku beriman kepada Allah SWT. Ingatlah, ujian datang adalah untuk meningkatkan martabat seorang insan di sisi Tuhan.

Penulis pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu

Popular posts from this blog

Video: Pemandu Grab Mengamuk. Suami Maki Isteri Dalam Grab

Video tular memaparkan seorang lelaki warga asing dipercayai memarahi isterinya ketika berada di dalam kenderaan e-hailing Grab sehingga mencetuskan ketegangan dengan pemandu Grab yang turut naik berang. Video rakaman CCTV memaparkan detik pertengkaran antara seorang lelaki warga asing dengan pemandu Grab dipercayai berlaku selepas lelaki tersebut memarahi isterinya di dalam kenderaan e-hailing berkenaan. Rakaman itu turut menunjukkan suasana tegang apabila pemandu Grab bertindak mempertahankan wanita terbabit sebelum berlaku pertikaman lidah antara kedua-dua pihak. Video berkenaan kini tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi orang ramai. Antara komen orang awam yang tular di media sosial mengenai insiden tersebut ialah ramai yang meluahkan rasa marah terhadap tindakan lelaki berkenaan serta memuji pemandu Grab kerana campur tangan. Sebahagian netizen turut meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas, manakala ada yang bersimpati terhadap wanita dipercayai menjadi mangs...

1 Maut, 2 Cedera Dalam Insiden Tembakan Di Skudai

Satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan insiden tembakan yang berlaku malam tadi di kawasan Taman Industri Jaya, Skudai sehingga mengakibatkan seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera. Menurut kenyataan media yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia, kejadian berlaku sekitar jam 11 malam dan pihak polis menerima maklumat berkaitan insiden tembakan melibatkan mangsa lelaki tempatan berusia 27 tahun. Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di hadapan sebuah pusat hiburan di kawasan berkenaan. Seorang mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat terkena tembakan, manakala seorang lagi mangsa mengalami kecederaan. Turut dipercayai terdapat seorang lagi individu cedera namun identitinya masih belum dikenal pasti selepas dibawa keluar dari lokasi oleh kenalannya. Polis kini sedang giat mengesan dua suspek yang masih bebas bagi membantu siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta t...

VIDEO TULAR: WANITA LOMPAT KELUAR DARI KENDERAAN SEDANG BERGERAK

KLANG: Seorang wanita mengalami kecederaan selepas terjun dari sebuah kereta yang sedang bergerak kerana didakwa berasa tidak selesa dengan seorang pemandu p-hailing. Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao, dalam satu kenyataan pada Sabtu (2 Mei), berkata pemandu berusia 47 tahun itu telah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut selepas insiden pada 1 Mei. “Insiden berlaku di tengah jalan berhampiran sebuah stesen minyak di Taman Eng Ann ketika pengadu sedang membawa dua penumpang. “Tiba-tiba, salah seorang penumpang wanita membuka pintu belakang sebelah kanan dan terjun keluar ketika kenderaan masih bergerak. Pengadu segera memberhentikan kenderaan dan mendapati wanita tersebut mengalami kecederaan ringan akibat kejadian itu,” katanya. Siasatan mendapati wanita itu dipercayai berasa cemas dan takut akan keselamatannya kerana pemandu didakwa melihatnya melalui cermin pandang belakang tanpa sebab yang munasabah. Wanita itu kemudian dihantar ke sebuah ...