Remaja Perempuan 14 Tahun Antara 372 Individu Ditahan
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, operasi serentak di seluruh negeri itu dilaksanakan menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) bagi membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah.
Menurutnya, operasi itu memberi tumpuan kepada lokasi yang dikenal pasti menjadi sarang penagihan dadah termasuk kawasan skim Felda, Felcra, ladang swasta, projek perumahan rakyat termiskin (PPRT), rumah pangsa dan jeti nelayan.
"Daripada keseluruhan tangkapan, 356 individu merupakan lelaki manakala 16 lagi wanita berusia antara 14 hingga 70 tahun.
"Tangkapan turut melibatkan 33 warga asing masing-masing warga Thailand, Indonesia, Myanmar dan Vietnam," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Mohd Alwi berkata, hasil siasatan dijalankan, seramai 66 individu ditahan atas kesalahan disyaki mengedar dadah, 206 kerana memiliki dadah manakala 100 lagi penagih disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Katanya, tiga individu yang dikategorikan sebagai orang dikehendaki turut berjaya ditahan dalam operasi berkenaan.
"Kita juga mengenal pasti dua penagih dadah tegar yang akan diambil tindakan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Dalam operasi sama, beliau berkata, polis merampas pelbagai jenis dadah dengan anggaran nilai RM49,648.30 termasuk 288.61 gram ganja, 251.95 gram syabu, 212.98 gram heroin dan 17.74 gram ketamin.
"Rampasan lain melibatkan 7.46 gram pil Erimin 5, 2.3 kilogram daun ketum, 126.10 liter cecair ketum serta 0.18 liter kodien.
"Sebuah kenderaan dan wang tunai dengan jumlah keseluruhan bernilai RM4,700 turut disita," katanya.
Operasi berkenaan melibatkan 248 pegawai dan anggota polis termasuk 25 pegawai kanan serta 223 pegawai rendah polis daripada JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), balai polis dan Pasukan Gerakan Marin.
%20(1).jpg)