Lori Sampah Terbalik di Persimpangan Lampu Isyarat


Sebuah lori sampah dilaporkan hilang kawalan sebelum terbalik di persimpangan lampu isyarat Alam Budiman, Persiaran Mokhtar Dahari di sini, pagi tadi.

Kejadian yang berlaku berhampiran susur menghala ke Persiaran Pulau Lumut, Seksyen U10 itu nyaris mencetuskan tragedi apabila kenderaan berat berkenaan hampir merempuh beberapa buah kereta yang sedang berhenti dan melalui persimpangan tersebut.

Berdasarkan rakaman kamera papan pemuka (dashcam) pengguna jalan raya yang tular di media sosial, lori sampah terbabit yang datang dari arah Shah Alam dilihat gagal dikawal ketika cuba membelok di persimpangan berkenaan.

Kenderaan itu kemudiannya terbabas dan melanggar bahagian tepi sebuah lagi lori lain yang berada di laluan bersebelahan sebelum terbalik di atas jalan raya.

Insiden tersebut menyebabkan gangguan aliran trafik dan kesesakan di sekitar Persiaran Mokhtar Dahari susulan kerja-kerja pengalihan kenderaan dan pembersihan lokasi kejadian.

Setakat ini, status kecederaan pemandu lori yang terlibat masih menunggu pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa.