Keluarga disamun selepas dikejar 2 kereta berhampiran Terowong Menora


SATU video tular di media sosial memaparkan detik cemas sebuah keluarga yang panik apabila dua buah kereta dipercayai cuba menghampiri dan menghalang kenderaan mereka dalam kejadian samun pada Khamis di Lebuhraya Utara-Selatan.

Menurut info orang awam di media sosial, kejadian berkenaan dipercayai berlaku sekitar pukul 4 pagi (16 Oktober 2025) berhampiran Terowong Menora menghala ke Kuala Lumpur.

Dalam video berdurasi hampir seminit itu, kedengaran suara cemas seorang wanita menjerit memanggil ayahnya agar memecut kenderaan selepas dua buah kereta dikatakan cuba menghimpit mereka.

Berdasarkan perkongsian pengguna media sosial dikenali sebagai dinkbf5, keluarga terbabit difahamkan kehilangan dompet, sejumlah wang tunai serta beberapa telefon bimbit selepas disamun dua kereta berkenaan.

"Mangsa mendakwa dua kereta telah menghalang laluan di depan dan kanan, sebelum dompet, duit, dan telefon disamun.

"Hasil siasatan awal polis dikatakan mendapati suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu," kongsi dinkbf5.

Bagaimanapun, sehingga kini masih tiada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa kini mengenai suspek yang terlibat dengan nasib keluarga itu juga masih belum diketahui sepenuhnya. — Majoriti