Skip to main content

Muhyiddin Sedia Bekerjasama Dengan Tun Mahathir




KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sedia bekerjasama dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam satu kenyataan di media sosial, Muhyiddin berkata kerjasama itu adalah demi perjuangan membela agama, bangsa, dan negara.

"Saya menyambut baik kenyataan Dr Mahathir yang bersedia bekerjasama dengan saya demi matlamat untuk memperjuangkan nasib orang Melayu dan Islam.

"Saya sedar perkembangan politik mutakhir ini meletakkan umat Melayu dan Islam di negara ini di suatu persimpangan yang getir.

"Maka sebagai seorang Muslim, saya secara peribadi bersedia untuk bekerjasama dengan semua tokoh Melayu dan Islam termasuk Dr Mahathir demi perjuangan membela agama, bangsa dan negara," katanya dalam satu kenyataan.
Dr Mahathir sebelum ini berkata beliau bersedia bekerjasama dengan Muhyiddin sekiranya kedua-dua pihak dapat mencapai matlamat yang sama.

Kenyataan terbaharu beliau itu sekali gus membayangkan kedua-dua bekas Perdana Menteri berkenaan berkemungkinan boleh kembali duduk semeja selepas bermusuhan selama lebih tiga tahun.