Video: Mercun, Botol Melayang Kekecohan Di Program Syed Saddiq



Sekumpulan lelaki 'bertopeng' hadir membuat kekecohan di Majlis Malam Mesra Muo anjuran Muda di Dewan Yong Sheng Muar, maklum Presidennya Syed Saddiq Abdul Rahman

"Saya adakan majlis makan malam sahaja. Kenapa perlu ada provokasi lagi? Bukan saya buat apa-apa pun.

"Bila ahli Muda tanya, datang dari mana, mereka mula mengganas.

"Baling botol, baling mercun, rosakkan kereta tetamu," katanya pada hantaran di media sosial malam ini.

Pengerusi Muda Sabah Amos Thien dilaporkan cedera semasa kekecohan malam ini dan terdapat juga kereta yang rosak.

Syed Saddiq bertegas menolak sekeras-kerasnya provokasi dan juga "politik gangsterisme."

"Kalau tak suka, dan nak lawan, kita lawan melalui politik dasar dan khidmat.

"Kalau macam ni, takda guna. Masalah-masalah rakyat takkan selesai," katanya.

Timbalan Presiden Muda Amira Aisya Abdul Aziz berkata Thien cedera akibat terjatuh semasa kejadian tolak-menolak dan mercun meletup di hadapannya.

Sementara itu, kereta anggota jawatankuasa eksekutif pusat Muda, Lim Wei Jiet juga rosak dalam kekecohan tersebut.

"Saya tak kisah kalau kereta rosak, walaupun sakit hati juga.

"Tapi sampai baling mercun ke dalam crowd. Ada kanak-kanak, warga emas yang hadir. Bayangkan jika meletup di hadapan muka badan mereka.

"Tergamak buat serangan jijik macam ini," katanya.

Penyandang kerusi parlimen Segambut Hannah Yeoh dari DAP, yang hadir pada majlis itu, turut menulis hantaran di Twitter mengenai kejadian itu, menggesa polis menyiasat perkara tersebut.