Anak Pulang Dari Mengaji Dengar Tangisan Bayi Dalam Longkang


Seorang bayi perempuan masih bertali pusat yang dipercayai dilahirkan kurang 24 jam ditemui di Kampung Solok, Tangkak

Menurut laporan Berita Harian Online, bayi yang masih bertali pusat seberat 2.6 kilogram itu ditemui di longkang Jalan Kebun, semalam.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohd Fadhil Minhat, berkata anggota Balai Polis Tangkak menerima panggilan daripada lelaki memberitahu penemuan bayi itu pada jam 6.18 petang.

Beliau berkata, lelaki itu mendakwa anaknya yang pulang dari mengaji terdengar tangisan bayi dalam longkang kira-kira 50 meter berhampiran kediamannya.

"Lelaki itu kemudiannya membalut bayi itu dengan sehelai kain, sebelum meletakkannya di tepi jalan.

"Pemeriksaan yang dijalankan kakitangan perubatan mendapati bayi yang tidak dikenali bangsa itu berkeadaan sihat dan dibawa dengan ambulans ke Hospital Tangkak untuk pemeriksaan lanjut.

"Tiada sebarang dokumen atau barang milik bayi ditemui dan kes diklasifikasi mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan, iaitu buang bayi yang boleh membawa hukuman penjara selama tempoh tujuh tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali," katanya dalam kenyataan media, malam tadi.

Mohd Fadhil berkata, Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes tersebut diminta menghubungi bagi membantu siasatan. 016-5220525 atau 06-9781 2222 atau balai polis berhampiran. -
Berita Harian Online