Mengaku Teman Hidup Samy Vellu, Wanita Ini Tuntut Nafkah RM25k Sebulan

Seorang wanita, yang dikenali sebagai E Meeriam Rosaline, telah memfailkan perintah interim daripada Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan hak akses bertemu S Samy Vellu tanpa syarat.

Dia mendakwa sebagai bekas teman wanita presiden MIC itu dan memohon perintah mahkamah supaya dia dibayar wang nafkah RM25,000 setiap bulan sementara menunggu keputusan saman utamanya, lapor Free Malaysia Today.

Portal itu melaporkan Meeriam mendakwa pemberian nafkah dan faedah lain yang dibayar kepadanya telah dihentikan.

Katanya, anak lelaki Samy Vellu, Vell Paari telah mengambil alih kawalan kewangan bapanya sejak 2017 sambil menafikan pembayaran wang nafkah kepadanya.

Permohonan interim akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Hashim Hamzah di Ipoh hari ini.

Meeriam, yang menetap di Ipoh, diwakili oleh peguam RSN Rayer dan Ramesh Sivakumar.

Dalam afidavit sokonganya, Meeriam berkata telah menjalin hubungan dengan Samy Vellu sejak 1981 dan mendakwa mempunyai dokumentasi bukti yang menyokong tuntutannya itu.

Pada Isnin, S Vell Paari (gambar, atas) mengesahkan beliau memfailkan saman pemula terhadap S Samy Vellu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menentukan sama ada bapanya itu mempunyai masalah mental dan tidak mampu menguruskan hal ehwal sendiri.

Vell Paari mengesahkan beliau mengarahkan peguamnya memfailkan permohonan itu pada 2 Disember lalu, berkata keluarganya "tiada pilihan" dan "ia keputusan yang sukar.".

Katanya, tindakan itu juga diambil disebabkan dua perkara iaitu saman Meeriam Rosaline Edward Paul terhadap bapanya dan dan diagnos pada 2017 yang mendapati Samy Vellu mempunyai demensia akibat masalah Alzheimer.

Vell Paari berkata bapanya, yang juga berumur 82 tahun, tidak lagi mampu mengenali ramai kawan-kawan lama.

Vell Paari berkata, bapanya juga lemah dalam mengingat apa yang berlaku.

“Takrif ‘masalah mental’ bawah Akta Kesihatan Mental 2001 selari dengan keadaan beliau,” katanya.

Vell Paari menamakan bapanya itu sebagai denfendan tunggal.

Vell Paari juga mahu bapanya diperiksa oleh perunding neuropsychiatri dan mahukan laporan perubatan berkaitan.

Katanya, ibunya dan kakannya juga tahu tindakannya itu dan menyokongnya.

Samy Vellu berkhidmat sebagai anggota parlimen Sungai Siput selama lapan penggal berturut-turut dari 1974 ke 2008.

Dari tahun 1979 ke 2008 beliau berkhidmat sebagai menteri kerja raya dan menteri tenaga, telekomunikasi dan pos. - Malaysiakini