Powered by Blogger.

Thursday, October 24, 2019

Sebelum Ini Tinggal Bersama Ibu Kandung


SIBU: Polis menahan seorang mekanik selepas dipercayai merogol kanak-kanak berusia 12 tahun yang juga anak kepada teman wanitanya, sehingga hamil sejak Mei lalu.

Lelaki berusia 31 tahun itu ditahan Selasa lalu di sebuah rumah pekerja di Teku di sini, susulan laporan polis dibuat ibu saudara mangsa di Balai Polis Sungai Merah pada jam 9.45 malam.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit, berkata siasatan awal mendapati mangsa yang tidak bersekolah, dirogol suspek di rumah pekerja sebanyak lima kali antara Mei hingga Julai lalu.

Beliau berkata, mangsa sebelum ini tinggal bersama ibu kandung dan suspek tetapi dijaga ibu saudaranya sejak dua minggu lalu kerana disedari tidak mempunyai selera makan serta lemah.

“Ibu saudara mangsa kemudian membawanya ke klinik sebelum menerima rawatan lanjut di Hospital Sibu, selepas dimaklumkan tidak datang haid selama dua bulan.

“Ketika diperiksa, pegawai perubatan mendapati mangsa mengandung, namun tidak dapat dipastikan usia kandungannya dan menganggarkan kandungan berusia dua bulan berdasarkan tarikh akhir datang haid,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, mangsa anak bongsu daripada tiga beradik.

“Suspek kini ditahan untuk siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya. - Berita Harian Online