Powered by Blogger.

Thursday, February 14, 2019

Pelaja Perempuan Dicekik, Mulut Disumbat Pasir



TUMPAT - Seorang pelajar perempuan dicekik dan mulutnya disumbat pasir oleh seorang lelaki tidak dikenali ketika menunggu bas ke sekolah, semalam.

Tindakan jahat lelaki tersebut menyebabkan leher pelajar berusia 17 tahun lebam dan sakit badan serta trauma kepada mangsa.

Dalam kejadian jam 6.35 pagi, pelajar terbabit berada di perhentian bas berhampiran Taman Sri Neting di sini seorang diri.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, mangsa didatangi seorang lelaki tidak dikenali dan menarik mangsa dari arah belakang di perhentian bas tersebut.

Katanya, tindakan lelaki itu menyebabkan mangsa terjatuh dan lelaki tersebut terus mencekik lehernya.

"Mangsa memberitahu lelaki tersebut menyumbat pasir ke dalam mulutnya selepas dia terjatuh ke tanah," katanya.

Katanya, mangsa cuba melawan dengan menggigit jari suspek menyebabkan lelaki itu tidak sempat berbuat apa-apa dan melarikan diri dengan motosikal dan hilang dalam gelap menghala ke arah Taman Sri Neting.

"Pihak polis sedang giat mengesan mangsa dan berdasarkan laporan mangsa, lelaki tersebut menaiki motosikal jenis EX5 Dream namun tidak mengingati nombor plat.

"Suspek dikatakan memakai baju sejuk berwarna kelabu yang ada penutup di kepala," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan kepada mangsa. - Sinar Harian