Saya Tidak Sedar Berjalan Dalam Keadaan Macam Itu.


Wanita yang menggemparkan kawasan kunjungan pelancong di hadapan sebuah hotel di Wakaf Che Yeh dengan berbogel dan mengamuk dengan sebilah pisau pada 16 Disember lalu mendakwa dia dirasuk sehingga lupa diri.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, daripada soal siasat yang dilakukan, wanita berusia 31 tahun berasal dari Tumpat itu tidak mengakui dia telah melakukan perbuatan tersebut sehingga menyebabkan dua wanita serta seorang kanak-kanak tercedera.

“Hasil semakan juga mendapati dia tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

“Malah ujian air kencing yang dilakukan mendapati dia tidak berada di bawah pengaruh dadah serta tidak mempunyai sebarang rekod sebagai pesakit mental,” katanya ketika dihubungi di sni hari ini.

Tambahnya, semasa kejadian itu wanita berkenaan secara tiba-tiba mengamuk dan mencederakan dua wanita berusia 24 dan 77 tahun serta seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun.

Beliau berkata, mangsa disambung reman sehingga Rabu depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506, Seksyen 427 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah, perbuatan khianat dan mencederakan.

“Selain itu, kita turut menyiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 kerana memiliki pisau semasa kejadian,” ujarnya.

Pada 17 Disember lalu, Utusan Online melaporkan mengenai satu klip video yang tular di laman sosial berhubung seorang wanita yang bertindak di luar batasan.

Wanita yang berkulit putih melepak itu dikatakan telah menanggalkan pakaiannya sehingga tanpa seurat benang di hadapan hotel tersebut. - UTUSAN ONLINE