Powered by Blogger.

Monday, October 29, 2018

PKR Dakwa Remaja 15 tahun Disogok Tarik Balik Aduan Cabul


KANGAR: PKR Perlis mendakwa tuduhan cabul remaja bawah umur membabitkan bekas menteri yang juga Ahli Parlimen di negeri itu ada kemungkinan mempunyai unsur sogokan.

Ia susulan penarikan balik aduan yang dibuat remaja berusia 15 tahun itu di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kangar pada 20 Oktober lepas.

Pengerusi PKR negeri, Mohammad Faisol Abd Rahman mendakwa sehingga kini tiada tangkapan atau tindakan dikenakan terhadap bekas menteri itu.

Katanya, kes berkenaan seolah-olah “dilitupi” dan tidak adil sekiranya tertuduh diberi pengecualian undang-undang.

"Pihak polis sepatutnya menyiasat bukan menarik diri setelah pihak pengadu tarik balik (aduan). Yang menarik balik pengadu adalah underage (bawah umur). Jadi kenapa pengadu tarik balik?

Mohammad Faisol juga menyeru ahli keluarga remaja bawah umur itu untuk membuat laporan terbaharu supaya polis dapat meneruskan siasatan.

Beliau ditemui media di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis sejurus selesai membuat laporan bagi mendesak siasatan dilakukan terhadap bekas menteri itu, petang tadi.

Pihaknya juga akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya wujud unsur sogokan.

Dalam pada itu, Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Noor Mushar Mohd yang dihubungi Astro AWANI mengesahkan menerima laporan di IPD Kangar kira-kira 4.30 petang tadi.

Menurutnya, walaupun aduan sudah ditarik balik, polis tetap akan meneruskan siasatan.

Beliau mendedahkan bekas menteri itu akan diambil keterangan esok pagi di Kuala Lumpur.

Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Dalam perkembangan berkaitan, Noor Mushar memberi amaran kepada mana-mana pihak supaya tidak mencampuri urusan polis dengan tuduhan yang tidak benar. - Astro AWANI