40 Ahli Parlimen UMNO Akan Sertai Bersatu


JOHOR BAHRU 27 Okt. - Kira-kira 40 Ahli Parlimen daripada UMNO dikatakan akan keluar parti dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk A. Kadir Jasin berkata, mereka sudah pun beberapa kali berjumpa Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kepimpinan tertinggi parti secara berkumpulan atau perseorangan membincangkan perkara itu.

"Posisi dan jawatan mereka dalam UMNO yang berpotensi menyertai Bersatu bukanlah sama seperti Datuk Seri Mustapa Mohamed yang memegang kedudukan penting dalam parti dan kerajaan.

"Ahli Parlimen UMNO tersebut masih berfikir lagi, apa akan berlaku selepas itu (selepas sertai Bersatu). Ini kerana ada antara mereka mempunyai isu atau terdedah untuk siasatan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Perwakilan Bersatu Bahagian Tebrau di Bricks Cafe Kampung Maju Jaya, Skudai, di sini sebentar tadi.

Bagaimanapun Kadir berkata, tiada jaminan untuk mereka tidak disiasat setelah menyertai Bersatu dan siasatan akan tetap dilakukan sekiranya terlibat dengan sebarang salah laku. - UTUSAN ONLINE