Powered by Blogger.

Wednesday, January 31, 2018

Maut Akibat Tertusuk Sabit Di Ladang Kelapa Sawit.


PERAK: Seorang kanak-kanak lelaki yang berusia 12 tahun maut selepas dadanya tertusuk sabit ketika mengikut datuknya di Kampung Sungai Tiang Darat di Bagan Datuk petang semalam.

Sabit tersebut dipercayai jatuh ketika datuknya sedang mengait buah sawit dan difahamkan kanak-kanak tersebut tidak sempat menyelamatkan diri.

Menurut Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar, kejadian tersebut telah menimpa Mohd Riduan Hakim Abd Rashid, iaitu murid tahun enam dari Sekolah Kebangsaan Sungai Tiang Darat kira-kira pada jam 2 petang.

"Siasatan awal mendapati mangsa telah mengikuti datuknya untuk pergi mengait sawit sempena cuti sekolah sekitar jam 9.30 pagi."

"Semasa salah seorang ahli keluarga mangsa sedang mengait sawit, tiba-tiba buah sawit yang dikait telah jatuh bersama-sama sabit melalui kayu kait dan sabit berkenaan melantun mengenai bahagian kiri dada mangsa," katanya.

"Datuk mangsa tidak terlibat dengan kes ini kerana ia berlaku secara tidak sengaja," tegasnya ketika dihubungi.

Tambahnya lagi, sebaik sahaja kejadian mangsa kemudiannya telah dikejarkan ke klinik berhampiran dan disahkan meninggal dunia sebelum mayat itu dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk dibedah siasat.

"Polis telah menerima maklumat kematian kanak-kanak itu kira-kira jam 3.45 petang."

"Polis mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut," katanya lagi. Sumber: Suara Tv, Editor: Amira