Ibu Mengiau-Ngiau Minta Tolong, Rupanya Anak Dalam Tong Sampah 😭

SKUDAI - Melihatkan seekor kucing mengiau-ngiau dan tidak senang duduk, seorang ahli NGO perlindungan haiwan di sini bertindak menyelongkar tong sampah berhampiran apabila melihat haiwan itu seolah-olah meminta pertolongannya.

Tenyata apa yang dilakukan ahli Persatuan Perlindungan Dan Peliharaan Haiwan Terbiar Skudai adalah keputusan yang tepat apabila dua ekor anak kucing rupanya berada di dalam tong sampah itu.

Kisah ini dikongsikan NGO tersebut yang dikenali sebagai Hope melalui laman Facebooknya dan turut mendapat pelbagai reaksi warganet.

Menurut laman sosial tersebut, lelaki itu membuat keputusan tepat menyelongkar tong sampah itu apabila dua ekor anak kucing berjaya diselamatkan dengan salah salah seekor daripadanya masih mempunyai tali pusat dan uri.

"Ibu kucing tersebut sakit dan tidak mampu menjaga anaknya. Kejadian berlaku di sebuah kedai serbaneka yang ramai orang, namun tiada siapa pun sudi membantu, malah bertindak kejam dengan membuangnya ke dalam tong sampah.

"Kami dah cari di bahagian atas, namun tiada anak kucing tersebut jadi kami mengambil keputusan menyelongkar mengeluarkan semua sampah dan akhirnya kami menjumpai anak kucing tersebut yang betul-betul berada di hujung tong sampah," tulisnya.

Hope memberitahu, anak kucing tersebut dibawa pulang dan kini diberikan rawatan dan penjagaan secukupnya.

Rata-rata netizen memuji tindakan dilakukan NGO terbabit bagi memastikan anak kucing itu selamat malah mengecam tindakan individu yang membuang haiwan tersebut ke dalam tong sampah.

"Terima kasih kerana menyelamatkan haiwan tersebut daripada mati. Siapalah yang bertindak kejam buang anak kucing itu. Kalau rasa tak nak ambil tahu biarkan, janganlah sampai dibuang," tulis Ah Lih Tim di Facebook.

Tang Jun Xiang pula memberitahu, "Terbaik tindakan yang sanggup menggeledah sampah semata-mata untuk menyelamatkan anak kucing itu. Teruskan usaha anda bagi membantu binatang yang teraniaya." - Sinar Harian