Bapa Dilarang Kebumikan Jenazah Anak Buat Abam Botak Tampil Hulurkan Bantuan

SANDAKAN - Melihat kesedihan seorang bapa dilarang mengebumikan jenazah anaknya di sebuah perkampungan, di sini membuatkan Yunizam Yusop tampil menghulurkan bantuan.

Yunizam dikenali Abam Botak meluahkan isi hatinya di Facebook apabila menyaksikan kisah itu berlaku di negeri kelahirannya di Sabah.

Pemuda yang menyediakan perkhidmatan van jenazah percuma sejak dua tahun lalu berkata, dia amat terkesan dan sedih melihat perkara tersebut berlaku di negeri tersebut.

"Saya akan cepat terkesan bila mana terdapat perkara yang tidak patut berlaku di depan mata saya.

"Pagi tadi (semalam) terdapat satu jenazah bayi baru lahir telah meninggal dunia. Puas bapanya mencari tanah dan imam untuk kubur dan uruskan jenazah anaknya, namun oleh kerana mereka tidak memiliki dokumen dan sumber kewangan yang mencukupi, bayi itu dilarang dikebumikan di tanah perkuburan di kampung tersebut," ujarnya.

Menurutnya, bapa dan bayi itu adalah saudara Muslim yang sepatutnya dibantu, bukan dibebankan dengan larangan sedemikian.

"Kita fikirlah sendiri, mereka itu beragama Islam, saudara seislam kita. Berapa sangatlah ruangan tanah yang akan digunakan untuk jenazah bayi yang baru lahir sehingga kita tergamak tidak mengurus jenazah bayi tersebut.

"Ingatlah saudaraku. ALLAH tidak tanya, apa negaramu nanti dan apa negaranya nanti tapi ALLAH akan tanya kita, apakah kita sudah jalankan tanggungjawab kita sebagai Muslim," jelasnya.

Ujar Yunizam, jika soal kewarganegaraan dijadikan perkara utama dalam larangan itu, nilai kemanusiaan perlu dititikberatkan.

"Kita perlu ketepikan soal kewarganegaraan jika berlaku kematian sebab si mati tidak boleh pun berbuat apa-apa dan tubuh badannya akan terus mereput dan membusuk jika kita tidak ingin menguruskannya," katanya.

Bagaimanapun katanya, perkara tersebut telah diurus dengan baik setelah penjaga di Tanah Perkuburan Islam (TPI) Sim-sim Sandakan membenarkan urusan pengebumian dilaksanakan di kawasan tersebut.

"Terima kasih kepada penjaga (TPI) kerana mengizinkan jenazah bayi ini ditanam di sana. Ini bukti dalam hati kamu masih ada nilai kemanusiaan," katanya. - Sinar Harian