AUSTRALIA - Tiada apa yang mampu menggambarkan kegembiraan warga Australia apabila negara itu yang sebelum ini dilanda bencana kebakaran mulai dibasahi hujan.
Berita gembira tersebut dikongsi pengguna Twitter yang memaparkan kegembiraan beberapa anggota dan seorang pegawai perubatan apabila hujan di Australia.
Perkongsian video berdurasi 34 saat itu kini tular di media sosial dengan meraih lebih empat juta tontonan dan dikongsi lebih 24,000 pengguna.
Rata-rata warganet dari seluruh dunia mengucapkan kesyukuran dan mendoakan rakyat Australia yang menghadapi bencana itu.
“Saya bersyukur kerana akhirnya bumi Australia dituruni hujan yang sedikit sebanyak mampu membantu pihak berkuasa khususnya bomba memadam kebakaran. Saya mendoakan agar kebakaran yang berlaku di Australia dapat diatasi dengan segera,” tulis @samRam
@dayanamicheal pula menulis, “Semoga hujan yang turun di bumi Australia dapat memadamkan kebakaran yang berlaku dan saya mendoakan agar anggota bomba di sana diberikan kekuatan bagi memadamkan kebakaran."
Dalam pada itu, menurut laporan sumber dari The Conversation, krisis kebakaran belukar yang dilaporkan bermula sejak September itu telah menyebabkan kemusnahan hutan seluas kira-kira lima juta hektar serta mengorbankan kira-kira 480 juta haiwan pelbagai spesies.
Profesor Fakulti Sains Bumi, Atmosfera dan Alam Sekitar Universiti Monash, Neville Nicholls berkata, tahun lalu merupakan tahun paling kering bagi negara kanggaru itu.
“Cuaca berangin serta suhu yang tinggi membuatkan api semakin mudah merebak bahkan gambar kebakaran yang terburuk yang berlaku di Australia boleh dilihat melalui satelit,” katanya. - Sinar Harian