GRO Eropah Untuk Golongan VIP Diserbu Polis Di Jalan Perak

KUALA LUMPUR: Polis menyerbu sebuah pusat hiburan terkenal di Jalan Perak, di sini yang menyediakan khidmat pelayan wanita warga Eropah.

Dalam serbuan jam 12.15 tengah malam itu, seramai 38 wanita warga Ukraine, Rusia, Kazakhstan, Belarus, Jerman, United Kingdom dan Thailand dikesan berada dalam premis yang hanya dikhaskan untuk pelanggan yang berdaftar menjadi ahli kelab berkenaan sahaja.

Berdasarkan maklumat yang diterima dari pekerja kelab berkenaan, premis itu hanya boleh dimasuki oleh ahli kelab yang terdiri daripada mereka yang mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh serta datang berhibur dengan berpakaian mewah dan berjenama.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata berdasarkan maklumat, pihaknya menerusi Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Polis Kontinjen Kuala Lumpur, terus bertindak melakukan serbuan.

“Polis menahan semua 38 wanita warga asing berusia antara 19 hingga 30 tahun disyaki bekerja sebagai pelayan mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 399(b) akta yang sama.

“Semua wanita ini ditahan reman bermula hari ini dan kita akan siasat tujuan sebenar mereka memasuki negara ini, selain berkemungkinan turut terbabit dalam aktiviti pelacuran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihak polis juga turut merekodkan butir-butir peribadi lapan pengunjung premis.

“Sebarang maklumat berkaitan jenayah juga boleh disalurkan ke Bilik Gerakan Khas 24 jam, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0670 atau Hotline Polis KL di talian 03-2115 9999,” katanya.

Hasil tinjauan ke atas kelab eksekutif yang terletak di tingkat 1 mendapati tiga bilik karaoke mewah dilengkapi pentas tarian tiang untuk pelayan wanita asing menghiburkan pelanggan mereka.

Selain itu, harga bagi minuman keras yang disediakan kepada pelanggan kelab ini dari RM1,000 sehingga mencecah RM30,000 sebotol.

Pelanggan juga dipercayai boleh berurusan dengan pelayan wanita terbabit sekiranya ingin mendapatkan khidmat yang lebih ‘istimewa’ di luar premis berkenaan dengan harga yang dipersetujui. - Berita Harian Online