Polis Belikan Baju Buat Lelaki Ini


Seorang lelaki yang berhadapan dengan tekanan akibat masalah peribadi telah minum arak berlebihan menyebabkannya tidak sedarkan diri sehingga berbogel di khalayak ramai.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Mohd Fahmi Visuvanathan berkata pihaknya telah dimaklumkan mengenai kejadian tersebut oleh anggota trafik petang tadi.

"Pada 10 Nov 2019, jam lebih kurang 3.27 petang, polis Dang Wangi telah dimaklumkan oleh anggota trafik bahawa terdapat seorang lelaki dipercayai berbangsa Cina sedang berjalan berbogel di hadapan bangunan Daya Bumi, Jalan Kinabalu, Kuala Lumpur.

"Ekoran dari itu, sebuah kereta peronda dan anggota unit rondaan bermotosikal telah diarahkan ke lokasi tersebut dan telah menemui lelaki berkenaan.

"Anggota kereta peronda telah berjaya memujuk lelaki tersebut untuk masuk ke dalam kereta peronda tanpa sebarang kelakuan agresif," katanya dalam suatu kenyataan kepada media hari ini.

Mohd Fahmi (gambar, atas) juga berkata anggota polis bertugas telah membelikan pakaian untuk lelaki terbabit dan memberikannya wang saku sebagai tambang pulang ke rumahnya.

"Lelaki berkenaan juga tidak mempunyai sebarang masalah mental.

"Sebaliknya dia menyatakan menghadapi tekanan sehingga tidak dapat mengawal perasaannya akibat masalah peribadi, menyebabkannya meminum minuman keras secara berlebihan sehingga beliau tidak sedar yang beliau berbogel di khalayak ramai.

"Memandangkan lelaki tersebut tidak berpakaian, anggota polis kemudian telah membelikannya pakaian dari kedai bundle dan juga telah memberikan sedikit wang saku untuk dijadikan tambang untuk balik ke rumahnya di kawasan Brickfields," jelasnya. - Malaysiakini (BM Version)