Powered by Blogger.

Sunday, February 3, 2019

Video: Bayi Dilambung Secara Bahaya Di Ibu Negara Tular


Video seorang bayi yang dilambung dan dihayun secara berbahaya oleh seorang 'begpacker' di ibu negara dipercayai sebagai aksi untuk mendapatkan derma orang ramai mula tular di media sosial.

'Begpackers' adalah istilah yang merujuk kepada golongan pelancong asing, yang meminta derma atau sumbangan (begging) daripada orang ramai untuk menampung kos perjalanan mereka.

Aksi ala-akrobatik yang dilakukan ke atas bayi yang hanya memakai lampin pakai buang itu turut dirakam seorang pemilik akaun Facebook, Zayl Chia Abdullah.

Kejadian dipercayai berlaku di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Melalui statusnya, Zayl marah dengan tindakan pelancong berkenaan yang dipercayai untuk mendapatkan sumbangan bagi menampung kos pengembaraannya.

Turut kelihatan, seorang lagi wanita asing yang bermain alat sejenis muzik.

Dia juga menggesa pihak berkuasa polis mengambil tindakan ke atas lelaki berkenaan dan berharap bayi itu tidak mengalami kecederaan.

Pada Sabtu, Astro AWANI turut melaporkan aksi dua pelancong asing yang membuat aksi juggling di lintasan zebra di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.

Mereka melakukannya ketika lampu isyarat berubah menjadi merah, dan seterusnya meminta derma daripada orang awam, khususnya daripada pemandu kenderaan yang berada di barisan hadapan. - Astro AWANI