Dalam kejadian 5.15 petang itu, wanita yang berusia 40 tahun terbabit dipukul di depan ibunya sendiri yang ketika itu turut cuba menghalang menantunya daripada terus membelasah mangsa.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata mangsa sebelum itu menggunakan kereta suaminya namun dia terbabit dalam kemalangan hingga menyebabkan ada kesan calar pada kenderaan terbabit.
Beliau berkata, pasangan terbabit bertengkar sebelum suspek secara tiba-tiba naik angin lalu menarik rambut, memukul mangsa dengan tangan dan kayu.
“Tidak cukup dengan itu, suspek turut menghentak kepala mangsa ke dinding sebelum melarikan diri. Mangsa menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya dan terpaksa menerima tiga jahitan di kepala selain turut lebam di mata serta tangan,” katanya.
Noorzainy berkata, hasil pemeriksaan mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau kerana kesalahan memukul isterinya itu sebelum ini.
“Setakat ini, kita masih mengesan suspek yang berusia 42 tahun dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.