Powered by Blogger.

Sunday, July 8, 2018

Wanita UMNO Derma Tabung Free Najib


Wanita UMNO hari ini menyerahkan sumbangan berjumlah RM261,286 berserta dua utas gelang emas kepada Tabung Kemudahan Guaman Datuk Seri Najib Razak.

Ketuanya, Datuk Dr Noraini Ahmad, berkata sumbangan itu dikumpulkan ahli Wanita UMNO dari seluruh negara bagi membolehkan bekas Presiden UMNO itu menyediakan wang ikat jamin yang perlu dibayar esok.

Rabu lalu, Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tiga tuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalah guna kedudukan untuk kepentingan peribadi membabitkan RM42 juta berkaitan syarikat SRC International Sdn Bhd.

Mahkamah membenarkan jaminan RM1 juta dengan dua penjamin dan beliau perlu menyerahkan pasport diplomatik serta pasport awam.

Bekas perdana menteri itu dibebaskan selepas dijamin oleh dua anaknya selepas mahkamah membenarkan bayaran dilakukan secara ansuran iaitu pada hari berkenaan dan baki RM500,000 esok.

Noraini berkata, antara sumbangan adalah RM3,000 yang diperoleh Ketua Wanita UMNO Jasin, Datuk Zaleha Bujang, menerusi lelongan gelang emas miliknya.

"Ada juga tawaran lain daripada ahli Wanita UMNO untuk melakukan perkara sama demi mendapatkan lebih kutipan dalam menyumbang kepada usaha ini dan ia bukan kali pertama Wanita UMNO berkorban harta peribadi untuk membantu pemimpin parti.

"Semangat Allahyarhamah Datuk Siti Rahmah Kassim yang menyerahkan gelang emas untuk membiayai perjalanan Almarhum Tunku Abdul Rahman ke London pada 1957 untuk menuntut kemerdekaan negara terus membara dalam jiwa setiap ahli Wanita UMNO," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Noraini berkata, Wanita UMNO akan terus bersama keluarga besar parti yang berpegang teguh kepada semangat setia kawan dan perpaduan ketika senang dan susah.

"Solidariti ahli UMNO akan terus menjadi kekuatan parti menempuh cabaran dihadapi ketika ini," katanya.

Sebelum ini Ketua Wanita Umno Jasin Datuk Zaleha Bujang mendermakan seutas barang kemas bagi membantu bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak membayar yuran guamannya.

Melalui klip video yang dimuat naik di Facebook, Zaleha berkata dia akan serahkan gelang kesayangannya kepada tabung kutipan derma bagi membantu Datuk Seri Najib Razak.

Penyokong Datuk Seri Najib Razak kini memulakan tabung untuk memberikan sokongan kewangan kepada bekas perdana menteri itu yang sedang berdepan dengan kes mahkamah.

Bekas ketua pemuda Umno Wilayah Persekutuan Datuk Razlan Rafii berkata langkah tersebut diambil kerana mengambil kira keadaan bekas presiden mereka yang tidak mampu menjelaskan ikat jamin ditetapkan mahkamah.  - Berita Harian Online