Powered by Blogger.

Sunday, May 27, 2018

Sabah Mahu Elaun Untuk Imam Sama Seperti Semenanjung


Permohonan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) supaya pembayaran elaun imam di negeri ini disetarakan dengan elaun imam di Semenanjung Malaysia, akan dibawa kepada kementerian berkenaan untuk dipertimbangkan.

Timbalanan Ketua Menteri Sabah Christina Liew berkata perkara itu perlu dikaji kerana tugas yang dilaksanakan semua imam di negeri ini adalah sama seperti imam di negeri lain.

"Elaun yang diberikan kepada imam di Sabah adalah rendah jika dibandingkan dengan tugas yang dijalankan mereka...saya akan kemukakan permohonan ini (kepada kementerian berkenaan) kerana ia wajar dipertimbangkan," katanya.

Liew yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Sabah berkata demikian selepas menyerahkan sumbangan kurma kepada wakil-wakil masjid dan surau dalam Parlimen Tawau di Masjid al-Kauthar di Tawau, hari ini.

Liew berkata sebelum ini, perkara itu disuarakan oleh Pegawai (JHEAINS) Darwis Dahlan yang memberitahu bahawa elaun imam di Sabah adalah sebanyak RM850 berbanding di Semenanjung Malaysia yang menerima antara RM1,000 sehingga RM1,200. - Bernama