Najib Buar Report Polis Dakwa Nyawanya Terancam.


Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak membuat laporan polis mengatakan nyawa beliau dan keluarganya terancam, lapor media tempatan.

Najib turut meminta diletakkan di bawah program perlindungan saksi berhubung siasatan skandal berkaitan skandal 1MDB, petik laporan Malay Mail.

"Najib membuat laporan polis semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul semalam kira-kira pada jam 5 petang," petik laporan itu lagi.

Dalam laporan polis yang dilihat Malay Mail itu, Najib berkata terdapat ancaman jelas terhadap nyawa beliau dan anggota keluarganya serta telah membuat permohonan rasmi untuk diletakkan di bawah program perlindungan saksi.

Laporan itu juga menyebut dakwaan Najib yang memetik sumbernya berkata ancaman itu bukan sahaja datang dari dalam negeri tetapi dari luar negara juga.

Malay Mail turut memetik Najib yang menceritakan mengenai serbuan polis terhadapnya baru-baru ini.

"Dalam laporan polisnya, beliau (Najib) berkata pegawai polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman tiba di kediamannya pada malam 10 Mei, sehari selepas PRU14.

"Beliau berkata pegawai polis itu berada di kediamannya selama 18 jam dan merampas barangan milik beliau dan anak lelakinya yang tiada kena-mengena dengan 1MDB.

Dalam laporan polis itu juga, Najib mendakwa barang kemas dan barangan peribadi lain yang dirampas polis di Pavillion Tower itu merupakan hadiah daripada kawan-kawannya.

"Beliau juga mengatakan wang tunai (yang dirampas) itu sebenarnya untuk digunakan dalam kempen pilihan raya Barisan Nasional," petik laporan itu.

Najib juga dipetik laporan itu sebagai berkata para penyiasat yang menyerbu kediaman berkaitannya gagal memberikan beliau senarai barangan yang diambil.

Selain itu, laporan itu juga memetik Najib yang berkata hanya memainkan peranan penasihat dalam syarikat 1MDB dan tidak terlibat dalam proses pembuatan keputusan.

"Beliau berkata keputusan urus niaga 1MDB dibuat lembaga pengarah dan pihak pengurusan.

"Dalam laporan polis (Najib) itu, beliau mendakwa RM2.6 bilion yang diterimanya itu hanyalah derma daripada keluagra diraja Arab Saudi," lapor Malay Mail.