Cincin Anak Tersekat Pada Jari, Wanita ini Tahan Sakit Lima Jam


Gara-gara memakai cincin perak milik anaknya seorang wanita terpaksa menahan sakit lebih lima jam kerana cincin yang dipakainya itu tidak dapat ditanggalkan pagi kelmarin.

Akibat daripada kejadian itu, jari tengah sebelah kiri wanita itu membengkak menyebabkan dia terpaksa bergegas ke Jabatan Kecemasan Hospital Jasin bagi mendapatkan bantuan untuk mengeluarkan cincin perak tersebut.

Bagaimanapun, pihak hospital tidak dapat mengeluarkan cincin berkenaan dan meminta bantuan pasukan bomba dan Penyelamat (BBP) Jasin.

Ketua Operasi Pegawai Bomba Azizul Ali berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada hospital tersebut pada jam 6.45 pagi sebelum empat anggota bergegas ke hospital terbabit.

Menurut mangsa pada malam kejadian, dia hanya mahu mencuba cincin perak anaknya itu namun selepas memakainya ia gagal ditanggalkan.

Walaupun sudah mencuba pelbagai cara untuk menanggalkan cincin tersebut, termasuk menggunakan sabun ianya tetap tidak berjaya.

Pihak bomba berjaya membuang cincin tersebut daripada jari wanita berkenaan menggunakan alat khas pemotong cincin. Jari wanita itu tidak melecet dan hanya membengkak. Sumber:Harian Metro , Editor:Anna