Powered by Blogger.

Saturday, February 13, 2021

Wanita Dakwa Anggota Polis Minta Tunjuk Payudara Untuk Elak Disaman


KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat dakwaan dua wanita yang diganggu anggota polis dalam sekatan jalan raya (SJR) termasuk gangguan seksual baru-baru ini.

Menurut Pengarah Jabatan Intergriti Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya, pihaknya telah memanggil kedua-dua wanita terbabit untuk membantu pihak JIPS menjalankan siasatan.

"Kesalahan seperti dinyatakan itu adalah kesalahan tatakelakuan yang serius kerana ia boleh mencemarkan imej PDRM," katanya.

Beliau turut mengingatkan pegawai dan anggota polis yang sedang bertugas agar bersikap profesional dan tidak membuat sesuatu perkara atau percakapan tiada kaitan dengan tugas rasmi.

Terdahulu, salah seorang daripada wanita itu, yang berusia 24 tahun mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual oleh seorang anggota polis ketika ditahan dalam satu sekatan jalan raya di Jalan Duta, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Perkara itu didedahkan pemilik akaun Twitter @Sabiyusof yang menjadi tular sejak semalam.
Jelasnya, kejadian berlaku kira-kira jam 7.15 malam ketika dalam perjalanan dari ibu negara ke Shah Alam.

"Saya dalam perjalanan menghala ke (lebuh raya) NKVE melalui Jalan Duta, saya tidak bawa lesen memandu ketika itu sebab selalu tukar dompet jadi hari itu saya rushing (tergesa-gesa).

"Ketika melalui SJR pada jam 7.15 malam, saya diarah untuk memandu kenderaan ke bahu jalan.
"Saya tunjuk surat (kebenaran majikan) melalui telefon, jadi ada seorang pegawai nak tengok lesen memandu. Ketika itu saya kelam-kabut cari lesen memandu, tetapi saya bagi kad pengenalan saya," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Jelasnya, salah seorang anggota yang berada di lokasi kejadian mengambil kad pengenalannya untuk diperiksa. Bagaimanapun, seorang lagi anggota polis datang dan mendekati kenderaannya.

"Jadi seorang pegawai polis ini datang dekat cermin (kereta) dan cakap 'seriuslah you tak pakai bra, cuba tunjuk. Kalau tunjuk, I tidak saman you'.

"Lepas itu, dia bertegas juga nak tukar nombor telefon walaupun saya dah cakap saya tak selesa. Dia bagi telefon bimbit dia dan minta saya buat panggilan dekat telefon dia untuk tentukan betul itu nombor saya," katanya dalam ciapan Twitter itu.

Bagaimanapun, dia kemudiannya dibenarkan beredar dari SJR itu selepas disaman.

Tambahnya lagi, tindakan anggota terbabit tidak terhenti di situ, sebaliknya telah menelefonnya kira-kira jam 8 malam dan bertanyakan perkara yang sama.

"Lepas balik jam 8 malam, dia call untuk sahkan itu dia dan dia sekali lagi maklumkan saya tidak pakai bra. Dia ajak saya keluar dan tawarkan diskaun saman sebagai 'syarat berkawan'," jelasnya lagi.

Difahamkan mangsa telah membuat laporan polis di Shah Alam pada Sabtu berhubung kejadian itu. -Astro AWANI