Powered by Blogger.

Friday, February 12, 2021

Kanak-Kanak Perempuan Berusia 4 Tahun Maut Disyaki Didera Bapa Tiri


TAMPIN: Polis menahan seorang lelaki yang didakwa mendera anak tiri perempuan berusia empat tahun sehingga meninggal dunia, 1 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab, berkata lelaki berusia 30 tahun itu ditahan kira-kira jam 10 malam pada 9 Februari lalu, di hadapan balai polis ketika menunggu isteri dan seorang lagi anak tirinya berumur sembilan tahun yang dipanggil memberi keterangan.

Katanya, suspek yang bekerja sebagai pemandu lori simen, ditahan selepas abang mangsa mendedahkan adiknya kerap dipukul oleh bapa tiri mereka.

"Pada malam kejadian, abang mangsa mendakwa mendengar bunyi kuat seperti pukulan dan disusuli tangisan adiknya di bilik tidur bapa tirinya.

"Mangsa dikatakan tidak sedarkan diri ketika subuh dan terus dibawa ke klinik.

"Bagaimanapun, kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia setibanya di klinik walaupun diberi bantuan pernafasan," katanya di sini, hari ini.

Anuwal berkata, polis menerima laporan daripada doktor bertugas di Klinik Kesihatan Gemas mengenai kes seorang kanak-kanak perempuan meninggal dunia, 1 Februari lalu.

Katanya, bedah siasat di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban mendapati mangsa mengalami kecederaan serius di kepala dan ada kesan lebam di kedua-dua pergelangan tangan serta kaki.

"Mangsa juga mempunyai kesan gigitan di badan manakala tiga tulang rusuk kirinya patah.

"Pakar gigi dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) mengesahkan ada tiga kesan gigitan gigi dewasa iaitu di tangan kanan, bahu kanan dan pergelangan tangan kanan si mati.

"Forensik mengesahkan punca kematian disebabkan kecederaan di kepala akibat benda tumpul," katanya.

Anuwal berkata, suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine selain mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes curi.

Katanya, suspek direman bermula 10 Februari hingga Selasa depan manakala kes disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya. - Berita Harian Online