Powered by Blogger.

Thursday, August 13, 2020

Sedih Lihat Mayat Bayi Di Tempat Buangan Sampah 😭😭


KOTA KINABALU - Peniaga bakso tidak menyangka objek yang disangka anak patung di tempat pembuangan sampah dekat Taipan, Inanam, tengah malam tadi..

Mayat bayi lelaki yang masih bertali pusat itu ditemui Hassanudin Sabang, 28, pada 12.30 tengah malam ketika sedang membuang sampah.

"Saya ingatkan patung, rupanya bayi," kata Hassan ketika dia terpandang satu bungkusan plastik berisi seperti anak patung.

"Lalu saya cuba memeriksa dan melihat ada tompokan darah pada bungkusan plastik itu. Saya kemudian mengangkat dan tiba-tiba terkeluar tubuh bayi yang masih bertali pusat.

"Saya terus meminta bantuan beberapa individu berhampiran lokasi berkenaan untuk segera menghubungi polis," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, dia terkejut dan amat sedih kerana melihat kejadian seperti ini.

"Saya sedih melihat keadaan bayi diperlakukan sedemikian, kerana saya juga mempunyai seorang anak berusia sebulan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat bayi berkenaan.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati bayi itu adalah lelaki yang masih bertali pusat, cukup sifat dengan berat kira-kira empat kilogram.

"Pemeriksaan di lokasi kejadian turut dilakukan sepasukan pegawai perubatan dari Hospital Queen Elizabeth I (HQE I).

"Mayat bayi berkenaan di bawa ke HQE untuk bedah siasat dan siasatan masih diteruskan," katanya.

Sehubungan itu, Habibi meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian menyalurkan ke pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran. - Berita Harian Online