Powered by Blogger.

Monday, May 25, 2020

Lelaki Maut Akibat Pemandu Mabuk Lawan Arus

KUANTAN - Seorang kakitangan Alam Flora dalam perjalanan untuk bertugas syif malam maut dilanggar seorang pemandu dipercayai mabuk dalam kemalangan di jalan Kuantan By-Pass, kira-kira jam 9.40 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali, berkata, mangsa dikenali sebagai Irwan Herman Kamarudin, 41, dilanggar seorang pemandu berusia 42 tahun yang dipercayai memandu kereta ketika berada di bawah pengaruh alkohol serta memandu secara melawan arus.

"Kejadian berlaku apabila pemandu kereta jenis Toyota CHR yang datang dari arah Semambu telah memasuki jalan menghala ke pelabuhan secara melawan arus dan kenderaan dipandu secara merbahaya.

"Situasi ini telah mengakibatkan beberapa kenderaan lain mengalami kemalangan kerana mengelak daripada bertembung dengan kereta yang dipandu suspek," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), untuk bedah siasat sementara pemandu tersebut yang cedera di bahagian kaki turut dihantar ke hospital yang sama untuk rawatan.

Menurut Mohamad Noor, pemandu tersebut dipercayai baru selesai mengambil minuman keras di rumah rakannya di Taman Andora Peak sebelum kejadian itu.

Suspek telah ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian. - Sinar Harian