Powered by Blogger.

Wednesday, May 20, 2020

Jururawat Diganggu Jiran, Dakwa Bawa Covid-19 Balik

SINGAPURA - Seorang jururawat dipercayai sering diganggu jiran tetangga kerana didakwa membawa wabak koronavirus (Covid-19) di sini.

Menurut laporan Mediacorp, jururawat lelaki dari sebuah hospital itu memuat naik video rakaman aksi jirannya di laman sosial hingga tular.

Katanya, sepanjang enam tahun tinggal di sebuah pangsapuri, hubungan dia dengan jirannya sangat baik.

Namun, semua itu berubah apabila Covid-19 menular dan jirannya mendapat tahu bahawa beliau dan isterinya adalah 'petugas barisan hadapan'.

Sejak itu, beliau mendakwa dicemuh oleh jirannya yang turut melemparkan kata-kata kesat terhadapnya termasuk ibu bapa mereka.

Dalam rakaman video itu, jiran berkali-kali memanggil lelaki tersebut 'virus' sebelum bertindak menyemburkan sesuatu daripada pintu pagar rumahnya.

Semburan cecair dipercayai pembasmi kuman turut mengena anak perempuannya.

Susulan kejadian itu, jururawat berkenaan telah membuat laporan polis.

Polis mengesahkan bahawa satu aduan sudah dibuat berhubung insiden itu dan siasatan sedang dijalankan.

Mediacorp melaporkan bahawa sebilangan jururawat mengalami diskriminasi ketika menaiki pengangkutan awam semasa memakai pakaian seragam mereka.

Para jururawat mengatakan penumpang lain akan menjauhkan diri atau pemandu teksi enggan mengambil mereka kerana bimbang akan dijangkiti virus Covid-19. - Sinar Harian