Larikan Seorang Kanak-Kanak Perempuan Berusia 7 Tahun, Lelai Ini Berjaya Ditahan Polis



JOHOR BAHRU: Seorang lelaki yang melarikan seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun di hadapan rumah di kawasan Taman Teratai, pada Selasa berjaya ditahan polis, semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, suspek berusia 36 tahun itu ditahan lebih kurang 4.45 petang di kawasan Kampung Kangkar Baru, Yong Peng oleh pasukan khas dari cawangan D9 Jabatan Siasatan Jenayah Johor.

Katanya hasil siasatan polis, selepas suspek melarikan kanak-kanak perempuan terbabit kira-kira jam 5.30 petang dengan menaiki kereta, suspek membawa mangsa ke kawasan Stulang Laut di sini dan melakukan samun terhadap seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU).
 
"Mangsa OKU berumur lingkungan 20 tahun itu dianggaran kerugian RM500. Mangsa diarahkan oleh suspek untuk merakam kejadian amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan di dalam kereta yang dipandu oleh suspek.

"Kemudian, suspek meninggalkan lelaki OKU terbabit di tepi jalan Stulang Laut dalam keadaan selamat.

"Manakala kanak-kanak terbabit yang dalam ketakutan serta trauma telah ditemui orang awam di kawasan hadapan kedai makan di Kangkar Pulai," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Polis turut merampas kereta suspek jenis Proton Waja berwarna kelabu dan sebuah telefon bimbit.
Menurut Ayob Khan, suspek direman lima hari bermula hari ini hingga 20 Disember depan.

"Kes disiasat dibawah Seksyen 392 kanun keseksaan, seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan seksual terhadap kanak-kanak (AKSTK) 2017 dan seksyen 363 kanun keseksaan,"katanya. - Astro Awani