Powered by Blogger.

Thursday, May 21, 2020

Dapat Anak Kembar Tiga, Tapi Diuji Seorang Di ICU, Suami Diberhentikan Kerja Sejak PKP

SIAPA yang tidak mengidamkan cahaya mata, bukan? Normalnya, harta dunia akhirat itulah lazimnya diimpikan saat sebaik diijabkabulkan.

Begitupun, siapa kita yang hendak menidakkan ketentuan ILLAHI. Kita yang merancang, namun yang MAHA ESA itu lebih tahu apa yang terbaik dalam memberikan rezeki.

Ada pasangan yang tidak putus-putus merayu kepada-NYA agar dikurniakan biarpun seorang cahaya mata dek belum lagi nampak tanda-tanda akan ‘kemunculan’ si kecil.

Saban hari, minggu, bulan dan tahun hati tak henti merintih, menangis dan berdoa tanpa jemu agar dikurniakan zuriat.

Itu ujian buat mereka. Moga terkabul hajat dan impian kepada pasangan dalam golongan yang sedemikian.

Begitupun, lain pula ujiannya buat pasangan ini. Di saat orang lain diuji tiada anak atau mahu menambah zuriat namun belum bejaya, mereka pula berdepan ujian sebaliknya.

Dikurniakan tiga anak kembar baru-baru ini, antara yang tidak terlintas di fikiran Zahariah Yusuf, 40, dan suaminya, Zulkifli Zakaria, 42 dari di Penerok, Pontian, Johor.

Lebih mencabar buat mereka apabila Zahariah melahirkan zuriat di saat suaminya yang bekerja sebagai cef di sebuah hotel terpaksa tidak bekerja semenjak Perintah Kawalan Pergerakan.

“Orang kata memang tak ramai yang berpeluang dapat rezeki anak kembar, apalagi kembar tiga. Memang sangat bersyukur, tak sangka dapat kembar tiga ni yang lahir 2 April lalu.

“Apatah lagi sebelum itu pun saya baru gugur dan pergi berurut sebab peranakan macam jatuh. Lepas tu syukur double line (mengandung).

“Tapi ya lah siapa sangka suami pula tak dapat bekerja buat masa ni. Saya pun tak dapat berniaga burger masa PKPB ni,” luahnya pada SinarPlus susulan kesempitannya yang tular beberapa hari lalu.

Sayu luahannya, menurutnya, biarpun sudah cuba berniaga di tepi jalan selepas pengumuman yang melonggarkan syarat berkaitan, namun beliau telah dinasihatkan tidak berniaga buat masa ini oleh pihak berkuasa atas faktor wabak Covid-19 yang belum reda di negara ini.

Jadinya, buat masa ini pasangan ini yang mempunyai dua lagi anak berusia 12 dan 10 tahun memang tiada sumber pendapatan.

Berulang tengok anak di ICU, beli susu Zahariah dan suami bersama dua anak kembar mereka serta viral perkongsian kisah mereka.

Bertambah lagi dugaan apabila salah seorang daripada anak kembar mereka yang dilahirkan seberat 900 gram masih berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Kanak-kanak, Hospital Sultanah Aminah disebabkan masalah paru-paru belum matang dan jangkitan kuman.

Zahariah terpaksa berulang-alik ke hospital dalam seminggu dua ke tiga kali bersama suami atau bergilir-gilir. Jika beliau yang naik ke wad, suaminya akan menunggu bersama dua lagi anak kembar di dalam kereta.

“Dekat sejam juga perjalanan dari rumah saya ke hospital. Mujur sekarang ini minyak kereta tengah murah,” katanya.

Sayu juga perkongsiannya, menurut Zahariah, beliau tidak dapat memberikan susu badan kepada kembar tiga itu kerana kekeringan susu.

“Sekarang ini memang terpaksa berikan mereka susu formula. Dalam sekilo seminggu juga dah habis susu. Belum lagi campur susu sorang lagi kembar di hospital tu.

“Kalau seorang baby mungkin tak terasa, tapi kalau tiga kali ganda, memang ada juga cabarannya,” kongsinya.

Sudah dugaannya dan suami begitu, beliau cuma berharapkan doa semua.

“Kalau tanya apa yang nak bantu, siapa yang sudi apa saja bantuan kami terima dan reda,” katanya pasrah tanpa enggan meminta-minta.

Buat masa ini, beliau dan suami tetap berusaha membuat jualan kampung seperti sedikit kuih dan burger secara penghantaran mengikut tempahan.

Mereka yang berhasrat menyumbang boleh menyalurkan ke Bank Islam: 01108020275070 Zahariah Yusuf -AG #rantaiankasih - Sinar Harian